Pampasan air: Kerajaan belum buat keputusan

Dr Xavier Jayakumar
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum membuat keputusan memberi pampasan kepada mana-mana negeri yang kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liarnya digunakan sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, semua negeri mahukan pampasan namun sama ada kerajaan akan berikan pampasan atau tidak, ia adalah isu berbeza.

“Kita belum buat keputusan untuk memberi pampasan kepada mana-mana negeri berhubung isu tersebut,” katanya ketika menghadiri Hari Bumi di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat kerajaan negeri Pahang mahu menuntut pampasan RM17.1 bilion daripada kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah hutang ditanggung kerajaan sebelum ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang dijadikan kawasan tadahan air, kos melepas bagi kerajaan negeri adalah berjumlah RM16.4 bilion.

"Begitu juga di Empangan Klau, Raub bagi membekalkan air menerusi Projek Pemindahan Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS).

“Kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral dan premium hasil sawit serta cukai tanah di kawasan kira-kira 33,000 hektar dan kos melepas RM692 juta.

“Jumlah keseluruhan kos melepas ditanggung ialah RM17.1 bilion. Kita akan berjumpa dengan kerajaan Pusat untuk meminta jumlah ini dan kemudian ditolak daripada hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.17 juta billion,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Xavier menggalakkan kerajaan negeri mengambil peluang meningkatkan ekonomi dengan menjadikan hutan sebagai sumber ekonomi baru di samping memeliharanya.

“Kerajaan kini sedang merancang meneruskan industri perhutanan dan menjadikan hutan sebagai sumber ekonomi baharu.

“Saya fikir kerajaan negeri perlu mengambil peluang ini. Ini adalah model perniagaan baharu yang lumayan,” ujarnya.