Pembangunan fizikal harus seiring kehijauan alam: Dr Mahathir

Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia hanya akan menjadi negara maju jika berupaya memastikan pembangunan fizikal beriringan dengan kehijauan alam sekitar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, status negara maju tidak akan tercapai jika kita hanya perlihatkan bangunan pencakar langit tetapi sungai tercemar, hutan tandus dan udara dihirup tercemar.

Menurutnya, negara telah melihat kesan akibat dari pembangunan tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

“Kesedaran yang ingin diterapkan amat jelas iaitu memelihara alam dan persekitaran semulajadi adalah satu tanggungjawab persendirian dan kolektif.

“Tanggungjawab ini perlu berterusan dalam apa keadaan sekalipun,” katanya dalam ucapan semasa menghadiri Hari Bumi di Taman Tugu, di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kewujudan Taman Tugu, sebuah taman rimba seluas 26.7 hektar di tengah-tengah hutan konkrit Kuala Lumpur membuktikan komitmen Malaysia memastikan pembangunan seimbang.

“Saya difahamkan kira-kira 4,000 batang pokok hutan hujan asli Malaysia telah ditanam di sekitar Taman Tugu ini.

“Ini adalah tambahan kepada kira-kira 1,000 batang pokok asal di sini yang terpelihara. Kerana itu pemilihan tapak Taman Tugu untuk sambutan Hari Bumi pada tahun ini cukup bermakna dan amat simbolik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, kehadiran generasi muda dalam program tersebut memberi keyakinan usaha mempertahankan alam sekitar tidak sia-sia malah akan berkembang dalam kalangan rakyat.

“Pastinya, jika pengunjung Taman Tugu menyebarkan mesej kesedaran memelihara alam, saya percaya peningkatan kesedaran itu akan akhirnya menjadi sesuatu yang spontan dan tidak perlu kepada sebarang kempen dan peringatan.

“Atas sebab ini, saya yakin Taman Tugu ini serta lain-lain persekitaran semulajadi yang telah kita pertahankan akan kekal untuk generasi akan datang,” katanya.

Projek Taman Tugu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) diterajui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dengan sokongan beberapa kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Taman Tugu akan dipindahkan kepada Amanah Warisan Negara (AWAN) untuk diurus dan dilindungi selama-lamanya sebagai kawasan hijau awam.