KPKT sokong keputusan PM teruskan Bandar Malaysia

Zuraida Kamaruddin
A
A

Putrajaya – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneruskan projek pembangunan Bandar Malaysia dengan penambahan aspek tertentu yang akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan kerajaan menempatkan 10,000 rumah mampu milik di dalam kawasan Bandar Malaysia adalah langkah bijak dengan mengambil kira lokasi tersebut adalah kawasan hartanah bernilai amat tinggi.

"Jika sebelum ini pembangunan perumahan mampu milik, golongan B40 dan bawah M40 (berpendapatan RM 5,000.00 ke bawah) disasarkan di kawasan luar dan pinggiran bandar.

"Komitmen kerajaan kini dapat dilihat dengan membuka ruang kepada golongan ini untuk terus bermastautin di kawasan bandar dan bandaraya," katanya.

Zuraida berkata, naratif baharu yang diketengahkan oleh kerajaan kini adalah untuk memastikan golongan B40, bawah M40 dan golongan berpendapatan rendah tidak didiskriminasikan secara ekonomi dengan meletakkan tempat tinggal mereka hanya di kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga tidak mempunyai fasiliti yang secukupnya.

"KPKT telah mempunyai perancangan untuk memperkasakan golongan berpendapatan rendah di dalam bandar dengan menyediakan fasiliti, dasar dan polisi tertentu, terutamanya dari aspek pemilikan dan penyewaan kediaman," katanya melalui kenyataan media.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dirancang ialah penyediaan rumah transit (sewaan) untuk golongan belia yang telah berkeluarga.

"KPKT juga sedang mengkaji beberapa inisiatif lain seperti rekaan rumah untuk pasangan yang belum mempunyai anak, skim pembiayaan pemilikan kediaman untuk mereka yang sedang menyewa di rumah transit dan kemudahan awam yang bertaraf tinggi di kawasan perumahan mampu milik di seluruh Malaysia," katanya.