PPAPP anjur Pameran Dunia Media Pulau Pinang 2019

Jangan lepaskan peluang datang ke Pameran Dunia Media Pulau Pinang 2019 @ Pesta Buku, mulai Selasa depan.
Jangan lepaskan peluang datang ke Pameran Dunia Media Pulau Pinang 2019 @ Pesta Buku, mulai Selasa depan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMASKINI] Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) akan menganjurkan Pameran Dunia Media Pulau Pinang 2019 @ Pesta Buku bagi memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pameran berkenaan akan berlangsung di Pasaraya Mydin di Jalan Baru, Bukit Mertajam di sini, mulai Selasa hingga Ahad hadapan.

Pengarah PPAPP Sharimah Salleh berkata, pengunjung dapat menikmati diskaun sehingga 70 peratus dengan 52 gerai jualan akan disertai pembekal dari seluruh negara.

Selain itu, katanya, terdapat koleksi bahan bacaan dijual dalam pelbagai genre seperti novel, pendidikan, masakan, agama, motivasi dan banyak lagi.

Sharimah Salleh
Sharimah Salleh

"Pengunjung boleh mengekspresi kepintaran, bakat dan kreativiti di Pameran Dunia Media @ Pesta Buku dengan menyertai demonstrasi kraftangan dan ukiran buah; bengkel melukis bersama Lagenda Kartunis Ujang dan Robotik.

"Kita turut menampilkan ceramah oleh Personaliti TV9 Tanyalah Ustazah, Ustazah Fatimah Syarha; KAHOOT, pertandingan rekaan fesyen, bercerita, Pulau Pinang berbakat, kolaj keluarga, permainan tradisional dan banyak lagi.

"Penganjuran semua program berkenaan dibuat secara percuma dengan aktiviti dianjurkan sesuai untuk semua lapisan umur dan masyarakat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Artikel Berkaitan:

Sharimah berkata, antara tarikan lain akan ditampilkan Pameran Dunia Media @ Pesta Buku adalah program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit.

Program ini akan diadakan serentak di seluruh Malaysia pada Selasa, 23 April depan sempena Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia, pada jam 11 hingga 11.10 pagi.

"Ia adalah sebahagian daripada aktiviti gerakan membaca dijalankan pada setiap tahun sebagai usaha berterusan semua Perpustakaan Awam Negeri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap pelaksanaan program Pameran Dunia Media 2019 @ Pesta Buku dan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit dapat menarik minat orang ramai untuk menjadikan membaca sebagai budaya.

"Memandangkan Pameran Dunia Media 2019 adalah acara tahunan dan penganjurannya menjangkau tahun keempat, maka PPAPP berharap ia akan mendapat sambutan lebih menggalakkan dari sebelumnya," katanya.