Al-Quran jawapan setiap persoalan

Ustaz Ambya (kiri), Fazrul (tengah) dan Presiden dan Pengarah PT Indorajawali Penganjur Acara, Abdul Aziz bergambar bersama penonton selepas sesi perkongsian kekuatan surah-surah pada Seminar Amazing Al-Quran, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di KLCC di sini, semalam. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani

A
A
A

KUALA LUMPUR - Dunia moden dan serba laju pada hari ini, mendorong manusia terdedah dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, jika setiap permasalahan baik isu besar ataupun kecil tidak diuruskan dengan betul maka ia akan meninggalkan impak negatif dalam kehidupan manusia.

"Justeru, apakah solusi terbaik untuk membawa kita keluar daripada bermacam-macam masalah yang dihadapi? Jawapannya, adalah dengan membaca al-Quran yang diturunkan ALLAH.

"Semakin kita mendekati dan mendalami al-Quran, semakin banyak jawapan akan diperoleh bagi setiap persoalan, isu mahupun konflik yang bersarang dalam fikiran serta jiwa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Amazing Al-Quran, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fazrul turut menggesa umat Islam yang sedang berada dalam kebuntuan supaya mengamalkan sikap membaca, mengkaji, menganalisis dan mengumpul maklumat sebelum melakukan sebarang tindakan.

Fazrul berkongsi kekuatan surah-surah pada Seminar Amazing Al-Quran, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di KLCC di sini, semalam. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani

"Hal ini selari dengan mesej terkandung dalam surah al-Alaq, ayat satu hingga lima yang menceritakan ALLAH mencipta manusia daripada segumpal darah.

"Kemudian, mengajar manusia ilmu membaca kerana amalan (membaca) itu memberi manfaat dan penting dalam kehidupan umat Islam. Selain itu, dengan membaca al-Quran atau bahan bacaan ilmiah akan membawa kita keluar daripada kegelapan kepada laluan bercahaya," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ajaibnya al-Quran

Sementara itu, Jurulatih utama Akademi Cordoba di Indonesia, Ustaz Ambya Abu Fathin pula memberitahu, ALLAH menurunkan al-Quran sebagai asbab untuk membantu kejayaan manusia.

"Selain menyelesaikan segala masalah al-Quran juga mempunyai 'keajaiban' mengubah kita menjadi manusia yang lebih baik dan berjaya.

"Buktinya, situasi yang berlaku terhadap Bilal bin Rabah (bekas hamba abdi) pada zaman Rasulullah SAW dan Fudhail bin Iyadh, bekas perompak paling digeruni yang kembali mengingati Allah selepas terdengar bacaan ayat al-Quran," ujarnya.

Suasana di reruai jualan al-Quran di luar dewan Teater Plano ketika berlangsungnya sesi perkongsian kehebatan al-Quran pada Seminar Amazing Al-Quran, Simposium Keagungan Al-Quran sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di KLCC di sini, semalam. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani

Simposium Keagungan Al-Quran merupakan inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Simposium yang julung kali dianjurkan itu bertujuan membawa mesej 'berinteraksi' dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Pada masa sama, menjadi platform kepada orang ramai berkomunikasi dengan al-Quran khususnya surah al-Kahf yang merupakan solusi dalam mengatasi pelbagai isu kekeluargaan, organisasi dan negara.

Terdapat lima program menarik disusun melibatkan barisan panel profesional yang bakal memberi manfaat kepada para peserta simposium bermula pada 16 April hingga hari ini (20 April 2019).