Lakaran harimau guna 5,000 bulu tangkis

Lee Yiang Siang dan Celine menunjukkan poskad bertemakan daerah Muar dihasilkan mereka.
Lee Yiang Siang dan Celine menunjukkan poskad bertemakan daerah Muar dihasilkan mereka.
A
A
A

MUAR - Mural visual 3D yang dipamerkan di Pusat Warisan, Jalan Yahya di sini benar-benar mencuri tumpuan pengunjung.

Lakaran berbentuk seekor harimau yang dinamakan Eyes Of Muar itu begitu unik kerana ia dihasilkan menggunakan bulu tangkis.

Karya kreatif yang bersaiz kira-kira tiga meter lebar dan semeter tinggi itu berjaya dihasilkan oleh dua arkitek muda yang memilih tema harimau sebagai konsep bagi negeri Selatan tanah air ini.

Lee Yiang Siang, 26, dan Celine Tan Jean Inn, 26, memaklumkan idea penggunaan bulu tangkis tercetus selepas melihat lambakan bulu tangkis itu yang sudah rosak dibuang di sekitar gelanggang badminton.

Yiang Siang berkata, sebelum ini mereka dah hasilkan empat lukisan mural di tiga lokasi iaitu Batu Pahat, Kuala Selangor dan Penang.

“Kebetulan, pengurus Pusat Warisan, James Teo Peng Heng yang baru menubuhkan lokasi pusat ini berhasrat mencari pelukis mural untuk menyumbangkan hasil seni sebelum dia berjaya menemui kami.

“Sebaik saja kami didedahkan dengan keunikan konsep Pusat Warisan iaitu pameran mural dalam bangunan sejarah, kami berpendapat nak cipta sebuah seni berbeza bagi menjadikan hasil karya ini berharga kepada pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian.

Guna 5,000 bulu tangkis

Katanya, mereka cuba memikirkan kesesuaian konsep 3D untuk mural berkenaan termasuklah cadangan mengukir dinding agar ia kelihatan benar-benar 'hidup'.

Artikel Berkaitan:

“Bila Celine cadang nak guna bulu tangkis yang dah rosak, masa itu saya fikir bolehkah kami buat sebab bukan senang nak cabut dan leraikan bulu tangkis,” katanya.

Dia berkata, mereka sebulat suara mengambil keputusan menggunakan konsep terbabit kerana selain jimat, ia juga dapat menerapkan elemen kitar semula.

Mural diberi nama Eyes Of Muar kerana menghasilkan mata harimau menggunakan aluminium bagi kesan timbul pada waktu malam.
Mural diberi nama Eyes Of Muar kerana menghasilkan mata harimau menggunakan aluminium bagi kesan timbul pada waktu malam.

“Mulai hari itu, setiap kali ke gelanggang, kami kutip bulu tangkis sedikit demi sedikit. Dalam masa sama, lukisan harimau di Pusat Warisan juga disiapkan bagi melihat kesesuaian saiz dan jumlah bulu tangkis yang diperlukan.

“Hasilnya, kiraan kasar memerlukan 5,000 biji bulu tangkis bagi mendapatkan 50,000 jumlah bulu itu. Pemilihan warna yang kami gunakan ialah putih, kelabu dan hitam,” katanya.

Cabaran hasilkan wajah

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman menggunakan kaedah demikian, Celine akui bahagian wajah harimau merupakan cabaran paling besar.

“Nak lakar wajah harimau agak susah sebab jika jarak bulu tangkis macam tak padan, wajahnya dah jadi lain pula. Malah, kami gunakan kaedah di mana satu demi satu bulu tangkis dicelup pewarna kemudian baru cucuk di gabus.

Tiga warna diterapkan dalam mural Eyes Of Muar.
Tiga warna diterapkan dalam mural Eyes Of Muar.

“Jadi bila dah siap bahagian itu, baru nampak warna yang mana tak sesuai dan akan diganti dengan warna lain,” katanya.

Katanya, hasil seni itu berjaya disiapkan dalam tempoh lima bulan dan kini ia menjadi antara mural di Muar yang mencuri tumpuan ramai.

Ujar mereka berdua, selain unik, hasil seni itu juga diharap dapat menggalakkan orang ramai untuk menjayakan konsep kitar semula.