Nyawa ibarat di hujung tanduk

Nor Shabudin (tiga dari kiri) melihat kawasan yang terjejas.
Nor Shabudin (tiga dari kiri) melihat kawasan yang terjejas.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Lebih 1,000 penghuni rumah kos rendah Pangsapuri Taman Permai Indah, di sini bimbang apabila berdepan isu hakisan tanah dan tebing runtuh sejak sebulan lalu.

Difahamkan, masalah itu berpunca daripada projek tebatan banjir yang dijalankan berhampiran pangsapuri terbabit hingga menyebabkan struktur tanah terjejas.

Setiausaha Perbadanan Pengurusan Bersama (MC) pangsapuri terbabit, Datuk Nor Shahabudin Monil berkata, lokasi tanah mendap hanya kira-kira 50 meter dari kawasan perumahan, sekali gus membimbangkan penduduk.

“Kesan hakisan itu boleh dilihat apabila struktur jalan berhampiran kawasan perumahan mendap, selain terdapat batuan di tebing perumahan itu juga mula runtuh.

“Kita risau keadaannya mungkin akan bertambah buruk bila hujan lebat,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, soal keselamatan penduduk terutama kanak-kanak perlu diutamakan.

“Kita bukan menolak pembangunan kerana projek tebatan banjir ini juga untuk kepentingan rakyat tetapi pihak berkaitan perlu mengutamakan keselamatan penduduk di sini.

“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tebing runtuh dan mendapan tanah semakin serius sejak sebulan lalu.
Tebing runtuh dan mendapan tanah semakin serius sejak sebulan lalu.

Nor Shabudin berkata, aduan berhubung isu itu sudah diajukan kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan sehingga kini.

“Kita kecewa sebab masalah ini melibatkan soal keselamatan penduduk. Bayangkan kalau ada penduduk terutamanya kanak-kanak ‘terjatuh’ dalam lubang mendapan itu.

“Kami harap wakil rakyat atau pihak berkaitan turun padang melihat sendiri masalah ini,” katanya.

Penduduk, Adam Prakash, 47, mendakwa, masalah itu berlaku akibat kerja menanam cerucuk besi untuk projek berkenaan.

“Setiap kali kerja-kerja ‘piling’ dan mengorek pasir dijalankan, pasti berlaku mendapan dan tebing tanah runtuh. Hal ini semakin serius kerana ia melibatkan laluan keluar masuk penduduk di sini.

“Jalan ini juga semakin mengecil disebabkan runtuh tebing serta mendapan yang berlaku lebih kurang lima meter panjang dan sedalam 0.5 meter.

“Kita harap kontraktor terbabit dapat bina benteng konkrit bagi halang kejadian tebing runtuh berulang,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila waktu malam berikutan laluan itu gelap gelita akibat ketiadaan lampu jalan.

“Kita bimbang jika ada orang luar yang datang dan tak perasan mendapan tanah di laluan ini.

“Takut kenderaan mereka ‘terperangkap dalam lubang itu,” katanya.

Johara Abdullah, 45, pula berkata, dia berharap pihak terbabit turun padang untuk menyelesaikan masalah itu.

“Ini soal nyawa dan kepentingan awam, kita bimbang masalah ini menjadi semakin teruk dan merebak ke kawasan lain kerana difahamkan projek ini mengambil masa setahun untuk disiapkan.

“Harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penganut Dewa Ci Xuan Miao, Ong Tiong Meng berkata, beliau bimbang kejadian tebing runtuh itu akan memberi kesan kepada tokong berhampiran.

“Jarak tokong dengan kawasan tebing runtuh tak sampai dua meter. Saya bimbang belakang tokong ini akan turut terjejas.

“Kalau boleh saya mahu kerja-kerja menanam cerucuk besi dihentikan sementara. Kena buat benteng konkrit dulu untuk halang tanah runtuh,” katanya.

Sementara itu, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, laporan berhubung masalah itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Laporan mengenainya sudah saya panjangkan kepada pihak berkenaan. Kita juga minta kontraktor segera baik pulih kawasan terbabit,” katanya.