Tidak mahu faktor penat ganggu rentak bergaya Kedah

Penyerang Kedah, Mohd Zaquan Adha Abd Razak dikawal ketat dua pertahanan PJC FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman pada Selasa lalu yang berkesudahan Kedah menang 2-0. - Foto MOHD ASYRAAF
Penyerang Kedah, Mohd Zaquan Adha Abd Razak dikawal ketat dua pertahanan PJC FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman pada Selasa lalu yang berkesudahan Kedah menang 2-0. - Foto MOHD ASYRAAF
A
A
A

HILANG fokus akibat kepenatan sebelum Kedah tewas 2-1 kepada Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super 2019 pada 6 pada April lalu perlu diberikan perhatian oleh pemain dan pasukan kejurulatihan.

Rata-rata penyokong Kedah tidak mahu peristiwa sama berulang kerana pasukan itu bakal berdepan dua aksi Liga Super bertemu Melaka United pada Ahad ini dan Selangor pada 26 April sebelum menghadapi suku akhir pertama Piala FA 2019 bertemu PKNS FC pada 30 April atau 1 Mei.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Shahrizal Mohd Sobri berkata, penyokong percaya kecergasan bakal menjadi antara faktor besar yang menghalang pemain memberikan aksi terbaik pada tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari ini.

Menurutnya, JUFC juga melihat undian suku akhir Piala FA 2019 dilihat agak mencabar apabila Kedah diundi bertemu PKNS FC yang sebelum itu menyingkirkan JDT FC 1-0 pada pusingan ketiga.

"Tewas kepada Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super pada awal April lalu memang mengejutkan penyokong Kedah dan hal ini perlu diberikan perhatian oleh pemain serta barisan kejurulatihan kerana kami percaya faktor keletihan menjadi punca.

"Kali ini sekali lagi Kedah akan berdepan dua perlawanan Liga Super sebelum aksi suku akhir pertama Piala FA 2019 bertemu PKNS FC. Pada kami Kedah berdepan cabaran sebenar pada kempen merebut piala ini kerana perlu mengatasi PKNS FC untuk mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Mohd Shahrizal berkata, beliau percaya kerisauan penyokong itu berada di dalam pengetahuan pengendali Lang Merah, Aidil Sharin Sahak yang kini sudah kembali ke pangkuan pasukan selepas menyertai kursus kejurulatihan AFC di Kuala Lumpur.

"Kekalahan kepada Kuala Lumpur itu juga menyaksikan momentum Kedah kembali pada tahap momentum yang diharapkan selepas bangkit mengatasi Terengganu 3-0 pada aksi Liga Super 12 April lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan juga cemerlang mengekalkan momentum menewaskan Petaling Jaya City FC (PJC FC) 2-0 pada pusingan ketiga Piala FA pada Selasa lalu dan sudah tentu kami mahu melihat pasukan mara lebih jauh dalam kempen piala ini pada musim 2019," katanya.