Pencemaran plumbum: Kerajaan Selangor digesa ambil tindakan segera

Yunus
Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor digesa bertindak segera berhubung aduan pencemaran yang didakwa berpunca daripada sebuah kilang bateri di Kampung Jenjarom.

ADUN Sijangkang, Datuk Dr Yunus Hairi berkata, beliau pernah membangkitkan isu tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, namun jawapan diberikan kerajaan negeri disifatkannya tidak konkrit.

“Dalam sidang DUN saya dah bangkitkan isu ini terutama pencemaran oleh kilang tersebut menyebabkan kawasan menjadi berasid selain kesan plumbum yang tinggi dalam parit sekitar kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar beri amaran bahaya plumbum

Plumbum ancam penduduk Jenjarom

“Selain itu, saya juga telah persoalkan mengapa lesen diberikan kepada kilang tersebut sedangkan ia kilang bateri yang perlu dibina dalam kawasan industri berat bukan di Jenjarom kawasan industri sederhana,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menjawab soalan mengenai tindakan segera yang boleh dilakukan bagi mengelakkan orang kampung terkena pencemaran plumbum.

“Kerajaan negeri hanya jawab mereka sudah menyuruh kilang tersebut mengisi borang untuk menyatakan apakah jenis operasi perkilangan yang sedang diusahakan. Saya rasa ia bukan perkara utama perlu dilakukan kerajaan negeri apatah lagi kita sudah sedia maklum bahawa kilang itu penyebab kepada pencemaran.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga tahu kilang itu tidak sesuai berada di situ kerana ia kategori industri berat. Malah, kerajaan negeri juga tidak menjawab soal pencemaran plumbum itu. Saya tak pasti adakah mereka turun ke lokasi atau tidak,” katanya.

Justeru, kata Yunus, beliau mahu kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kemungkinan keadaan lebih buruk berlaku terutama kepada penduduk di kampung tersebut.

“Saya tidak menafikan pembangunan itu perlu tetapi kerajaan negeri harus tidak meremehkan alam sekitar terutama isu pencemaran sebegini yang dibangkitkan penduduk bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) akan memantau kilang bateri di Kampung Jenjarom dari masa ke masa berikutan dakwaan pencemaran berpunca dari kilang bateri tersebut.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafe’ee Yasin berkata, selepas sesi dialog antara pihak kilang dan wakil penduduk kampung pada 19 Mac lalu, JAS ada buat siasatan dan kajian terperinci terhadap punca berlaku tanah berasid di kawasan berkenaan.

“Pihak kami akan susul (siasatan) dari masa ke masa dan akan mengunjungi premis itu lagi untuk pantauan,” katanya.

Sebelum itu, Shafe’ee memaklumkan JAS Selangor menyita bahagian peleburan dalam kilang berkenaan kerana terdapat saluran yang merekah dipercayai punca bahan pencemaran itu mengalir.

“JAS Selangor sudah mengarahkan pihak kilang perbaiki dan perkara itu sudah selesai,” katanya. Sementara itu, pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah mengantung permit kilang berkenan, pada 15 Mac lalu.