Peluang rasai keagungan al-Quran di KLCC

Marhaini Yusoff
A
A

KUALA LUMPUR - Rasai perubahan diri apabila Al-Quran di hati, menjadi input penting dapat dimanfaatkan peserta yang menyertai Seminar Keagungan al-Quran Sebagai Solusi Organisasi dan Keluarga yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur KLCC, esok.

Seminar bermula jam 10 pagi itu membawakan penceramah berpengalaman yang berkongsi penceritaan keagungan al-Quran hingga memberi impak besar dalam kehidupan mereka secara peribadi serta berkaitan kes berlaku di negara seperti Brunei, Indonesia dan New Zealand.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, orang ramai perlu mengambil peluang sempena hari terakhir Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa itu untuk menghayati pentingnya merasai keagungan al-Quran dalam diri.

“Keagungan al-Quran ini sangat penting pada kita kerana apabila kira rasa al-Quran agung dalam diri kita, baru kita sanggup amal Quran dalam diri, keluarga, organisasi dan juga negara. Rasa keagungan al-Quran dalam diri akan pandu kita untuk membentuk tindakan.

“Kita ada penceramah yang hebat untuk berkongsi penceritaan keagungan al-Quran iaitu Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf yang juga Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengasas Ar-Rahman Quranic Learning Centre Indonesia, Ustaz Bachtiar Nasir dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, Hussamuddin akan mengupas pengalaman tentang perubahan yang dihadapi sebagai seorang usahawan dan hartawan selama hampir 40 tahun.

“Beliau akan kongsikan apabila beliau dapat nikmati keagungan al-Quran itu, sesuatu berubah. Misi beliau kini semakin besar bagaimana beliau membawa interaksi dengan al-Quran (baca, faham & amal) ke seluruh dunia.

“Sekarang ini dengan misi dan gagasan yang beliau bawa itu, misi gerakan al-Quran dah masuk ke 50 negara. Begitu juga dengan Bachtiar dan Fazrul akan mengupas apa yang terjadi di Brunei, New Zealand dan Indonesia dari sudut keagungan al-Quran.

“Kita akan faham apabila al-Quran terasa agung dihati, apa perkara besar yang boleh berlaku. Bagaimana rasa keagungan al-Quran itu memberi kesan terhadap kejadian-kejadian yang berlaku kerana kita mahu bangkitkan nilai yang ada dalam al-Quran sebagai sesuatu yang sempurna,” katanya.

Kira-kira 500 peserta dijangka menghadiri Seminar Keagungan al-Quran Sebagai Solusi Organisasi dan Keluarga yang berlangsung di aras 3 KLCC.

Orang ramai yang belum mendaftar turut dialu-alukan menyertai seminar ini esok dan sebarang pertanyaan boleh hubungi urusetia di talian 013-68 26335 /019-650 0763 / 019-382 3635.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia