Taiwan mahu Malaysia terus bimbing industri produk halal

A
A

KUALA LUMPUR - Taiwan mahu mengetengahkan lebih banyak badan pensijilan halalnya untuk mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya dapat menampung permintaan pensijilan bagi pasaran produk halal yang semakin berkembang.

Pengarah Bahagian Ekonomi, Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei di Malaysia, David Hsu berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak bimbingan dari Malaysia berhubung kriteria industri halal supaya dapat menjadi panduan kepada pengusaha produk yang mahu menceburi pasaran itu.

“Setakat ini, hanya satu badan pensijilan halal yang memperoleh pengiktirafan Jakim dalam tempoh lima tahun perkembangan industri halal di Taiwan. Ketika ini terdapat lima badan pensijilan yang mengesahkan status halal produk makanan, restoran dan juga logistik di Taiwan namun ia masih belum mencukupi.

"Justeru, kami melakukan pelbagai usaha ke arah pengiktirafan tersebut. Kami menghargai Jakim kerana tidak pernah menghampakan jemputan kami pada setiap tahun supaya menghantar pakar berkaitan industri halal ke Taiwan untuk berkongsi pengetahuan dan panduan terkini mengenai pembangunan industri halal,” katanya ketika ditemui pada acara 'Taiwan Beauty Pop-Up Shop' di sini, hari ini.

David berkata, Taiwan memerlukan sokongan Malaysia menerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam usahanya memperhebat promosi pasaran halal.

“Ia bagi memberi kesedaran kepada peserta industri mengenai pelbagai aspek perniagaan halal dan juga sebagai persediaan menceburi segmen perdagangan Islam. Kami sudah mula mendidik masyarakat mengenai maksud halal, bukan hanya dari segi pemasaran tetapi lebih penting isu semasa yang berkaitan.

"Sejujurnya, Taiwan baru memulakan persediaan untuk memasuki pasaran halal kira-kira lima tahun lepas...jadi kami tidak mempunyai pengalaman mencukupi, atas sebab itu, tidak banyak barangan keluaran Taiwan yang diperakui dalam memenuhi keperluan standard halal,” katanya.

Bagaimanapun, Taiwan tetap melaksanakan usaha ke arah mencapai standard halal yang ditetapkan malah standardnya kini lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Korea dan Jepun, katanya.

“Dalam pada itu, industri kecantikan dan kesihatan Taiwan kini bergerak ke arah pengeluaran produk yang memenuhi keperluan standard halal, seiring dengan permintaan yang semakin menggalakkan terutamanya untuk dieksport ke negara Islam.

"Pasaran halal penting ketika ini bukan sahaja bagi Malaysia malah seluruh dunia. Berdasarkan jumlah penduduk Islam yang besar, kami tidak boleh mengabaikannya.

Pada masa ini terdapat beberapa produk kecantikan Taiwan telah diperakui oleh pensijilan halal, dan sedang berusaha menggalakkan seberapa banyak pengeluar produk kecantikan di Taiwan untuk mempertimbang keperluan standard halal ini, katanya.

Acara anjuran Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) itu melibatkan 13 jenama yang mempromosi produk mereka secara terus kepada pengguna di Pusat Beli-belah Mytown, Cheras mulai hari ini sehingga 21 April.

Ia merupakan sebahagian Pelan Promosi Produk Kecantikan Taiwan 2019 berasaskan Dasar Baharu Pandang Ke Selatan. - Bernama