Lesen pengendali, kenderaan CJ Global Travel and Tours digantung

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memutuskan untuk menggantung lesen pengendali dan lesen kenderaan CJ Global Travel and Tours Sdn Bhd selama tujuh hari bermula hari ini.

APAD dalam satu kenyataan berkata, penggantungan kedua-dua lesen syarikat berkenaan diputuskan setelah satu Audit Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

"Setelah audit dijalankan, didapati syarikat tersebut telah gagal mematuhi keperluan ICOP keselamatan dan melanggar syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 22 dan Seksyen 41, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Tempoh penggantungan kedua-dua lesen syarikat berkenaan bermula hari ini selama tujuh hari sehingga mereka mematuhi keperluan ICOP keselamatan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, keselamatan penumpang merupakan keutamaan terpenting dan semua pengendali pengangkutan awam perlu bertanggungjawab dalam mengendalikan kenderaan mereka.

"Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan menegaskan bahawa pengendali yang gagal mematuhi keperluan ICOP keselamatan boleh dikenakan tindakan," katanya.

Penggantungan kedua-dua lesen syarikat CJ Global Travel and Tours Sdn Bhd dibuat berikutan kejadian kemalangan sebuah Bas Pekerja milik syarikat berkenaan di Jalan KLIA, Sepang pada 7 April lalu yang meragut 12 nyawa serta mengakibatkan 32 orang penumpang lain cedera.

Artikel Berkaitan: