Indikator 'K': Harap AS segera buang nama Malaysia

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Malaysia berharap Amerika Syarikat (AS) dapat mengubah 'Indikator K' pada nasihat perjalanan yang dikeluarkan Jabatan Negara itu secepat mungkin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Indikator itu meletakkan Malaysia bersama-sama 34 negara lain, sebagai negara yang menghadapi risiko penculikan atau dijadikan tebusan oleh pelaku jenayah dan pengganas'.

"Kita berharap Washington akan mengubahnya segera, kerana kita faham setiap negara mempunyai nasihat perjalanan tersendiri, dan kita (Malaysia) pun mempunyai nasihat perjalanan.

"Namun kita sudah menyatakan protes (terhadap indikator itu) dan berharap keputusan dapat dibuat secepat mungkin, kerana ia tidak bagus untuk sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Stadium Hoki, Wisma Belia di sini, hari ini.

Rabu lalu, Wisma Putra memanggil duta AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir bagi menyerahkan nota bantahan kerajaan berhubung indikator itu yang dikeluarkan pada 9 April.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya mengesahkan seorang rakyat Malaysia cedera susulan gempa berskala 6.1 dan 4.1 magnitud melanda wilayah Hualien, Taiwan, semalam.

Namun, Choo Yip Chean, 44, berada dalam keadaan selamat dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Hualien Tzu Chi, Hualien.

Artikel Berkaitan:

"Kita menghantar pegawai dan sudah pun melawat mangsa di sana dan kita akan sentiasa memantau keadaan mangsa bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.

"Mangsa berada dalam keadaan stabil dan kita akan memastikan dia mendapat rawatan perubatan terbaik di sana," katanya.