Operasi TH Johor berjalan seperti biasa

Mohammad Mokhzani (dua,kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan pada program berkenaan, di sini, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi dan pentadbiran Tabung Haji (TH) Johor masih berjalan seperti biasa dan berada dalam keadaan terkawal.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah TH Johor, Datuk Mohammad Mokhzani Mukhtar ketika diminta mengulas mengenai isu membabitkan aliran wang lembaga berkenaan.

"Keadaan macam biasa, berjalan seperti biasa. Buat masa ini semuanya tenang lagi," katanya ketika ditemui semasa hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Program Ikhtiar TH Peringkat Johor, di Menara Tabung Haji, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu turut memaklumkan sebarang keputusan dan arahan lanjut hanya akan dikeluarkan pentadbiran tertinggi di peringkat persekutuan.

Dalam pada itu, sempena program berkenaan TH negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) telah menyampaikan sumbangan kepada 20 usahawan asnaf yang dipilih daripada beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, sebanyak RM 150,000 hasil zakat TH telah diperuntukkan untuk melaksanakan program berkenaan.

"Melalui bantuan zakat sebagai suntikan modal perniagaan, TH dan Mainj berharap Program Ikhtiar ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di negeri ini.

"Ia juga bagi memastikan asnaf mampu berdikari dan memperbaiki kehidupan mereka dan keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Tambah beliau, sumbangan diserahkan menerusi program berkenaan juga akan diberikan dalam bentuk wang ringgit, atau keperluan peralatan mengikut bidang perniagaan masing-masing.