Pengurusan lestari hapus ancaman kumbang merah palma

Kumbang merah Palma. Gambar kecil: Che Alias Hamid
Kumbang merah Palma. Gambar kecil: Che Alias Hamid
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta menggunakan kaedah mekanikal atau kawalan dan pengurusan lestari dalam menghapuskan ancaman Kumbang Merah Palma (RPW) daripada terus merebak.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, pengurusan yang lestari amat penting bagi memastikan kumbang itu tidak lagi menyerang tanaman kelapa sawit dan kelapa negara ini.

"Saya menyambut baik usaha kerajaan membanteras aktiviti penyeludupan anak pokok kelapa dan tamar dari Thailand yang juga punca utama serangan RPW kembali lagi menyerang negeri yang bersempadan iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

"Selain tambah baik prosedur operasi standard (SOP) kawalan RPW dan pelan tindakan pengawalan RPW di ladang sawit diwujudkan, kaedah mekanikal atau kawalan dan pengurusan yang lestari perlu dilakukan," katanya.

Menurutnya, kerajaan dan agensi terlibat juga perlu mematuhi kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) lebih mesra alam merangkumi kawalan kimia, fizikal dan biologi tanpa bergantung racun makhluk perosak semata-mata yang boleh menjejaskan alam sekitar.
Artikel Berkaitan:


"Di samping itu, pemantauan dan penangkapan melalui perangkap feromon seks perlu ditingkatkan lagi selain menggunakan kaedah 'repellent' atau penghalau serangga dalam kawalan RPW," katanya.

Che Alias turut menyarankan agar laporan pengawasan dan pemantauan ladang sawit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RPW pada bulan ini diumumkan terutama kepada pengusaha ladang sawit dalam mewujudkan kerjasama yang kukuh bagi membendung serangan kumbang itu.

Kumbang merah palma ialah haiwan perosak merbahaya di bawah Akta Kuarantin 1976 dan pernah menyerang tanaman negara ini pada tahun 2016 dan dianggarkan, perbelanjaan kawalan serangga itu mencecah RM4 juta setahun.