'Bersatu sukar bergerak jika akaun parti dibekukan'

Ahmad Faizal (kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak yang hadir pada Kenduri Kesyukuran PN Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Manjoi di Ipoh pada Ahad.
Ahmad Faizal (kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak yang hadir pada Kenduri Kesyukuran PN Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Manjoi di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil langkah sewajarnya sekiranya permohonan membatalkan pembekuan akaun parti itu ditolak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pimpinan lain setelah parti itu menghantar surat kepada agensi penguat kuasa itu, Khamis lalu.

"Tentu perkara-perkara seperti ini akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita akan ambil tindakan sewajarnyalah.

"Tetapi untuk parti bergerak apabila akaun dibekukan ini tidak mudah selain menyukarkan kita hendak bayar gaji kepada kakitangan yang bekerja dengan parti. Saya berasa simpati kerana mereka ada anak kecil dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga serta ibu bapa.

"Apa yang berlaku kalau tidak mampu bayar gaji, saya rasa susah hati hendak selesaikan masalah itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah di sini pada Ahad.

Ahmad Faizal berkata, Bersatu sebelum ini menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli perniagaan, pihak korporat dan orang ramai.

"Bezanya kita masukkan ke dalam akaun tunjukkan dengan jelas tapi malangnya dikaitkan dengan perkara yang tidak baik. Jadi kita sentiasa beri kerjasama untuk siasatan," katanya.

Ditanya mengenai kewangan parti yang mempunyai lebih RM300 juta dalam akaun, Ahmad Faizal memaklumkan bahawa perkara itu diserahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan.

"Tetapi ada baiknya PKR, DAP, Pakatan Harapan dan UMNO menunjukkan sumber kewangan mereka. Duit parti kami simpan dalam akaun, ada keluar masuk, kita tulis elok-elok.

"Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, kami sama-sama bertanding di Parlimen Tambun tetapi itulah, kita boleh belanja RM200,000 setiap calon Parlimen, tidak tahu berapa banyak parti beliau (Anwar) belanja," katanya.

Media melaporkan SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.