Peraturan sunat solat tarawih terpakai sejak 2016: Jaipk

Surat pekeliling didakwa dikeluarkan Jaipk berkaitan peraturan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan ini kini tular dalam media sosial sejak hari ini. Gambar kecil: Mohd Yusop
Surat pekeliling didakwa dikeluarkan Jaipk berkaitan peraturan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan ini kini tular dalam media sosial sejak hari ini. Gambar kecil: Mohd Yusop
A
A
A

IPOH - Tiga peraturan utama ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk) berkaitan penganjuran solat sunat tarawih pada bulan Ramadan kepada kesemua jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh Perak sebagaimana dinyatakan dalam satu surat pekeliling ditularkan hari ini adalah inisiatif sama dikekalkan jabatan itu sejak tiga tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Hussin berkata, kesemua peraturan sebagaimana dinyatakan dalam satu surat dikeluarkan Jaipk bertarikh 17 April lalu sudah dilaksanakan pihaknya pada dua bulan Ramadan terdahulu dan tidak sewajarnya dipolitikkan.

Menurutnya, antara peraturan itu iaitu solat sunat tarawih diwajibkan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat di semua masjid dan surau di seluruh negeri Perak sepanjang Ramadan 1440H adalah rutin biasa diamalkan masyarakat Islam negeri ini sejak dahulu lagi.

"Dua peraturan lagi adalah melarang amalan tazkirah sebelum dan di antara solat sunat tarawih dan jemputan imam luar untuk menjadi imam solat tarawih diperketatkan dilaksanakan setelah mengambil kira pertimbangan sewajarnya semua pihak.

"Sebagai contoh, arahan larangan tazkirah sebelum dan di antara solat sunat tarawih adalah bagi mengelakkan amalan solat itu terganggu, manakala usaha memperketatkan jemputan imam luar adalah bagi memberi peluang dan ruang kepada ramai huffaz dan imam tempatan mengetuai solat sunat terawih," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Mohd Yusop berkata, pihaknya mengesahkan ada mengeluarkan satu surat pekeliling berkaitan peraturan mengadakan solat sunat terawih baru-baru ini, namun tidak pasti sama ada surat ditularkan ada merujuk surat dikeluarkan pihaknya.

Menurutnya, mana-mana masjid dan surau serta imam terlibat yang enggan mematuhi arahan dikeluarkan Jaipk akan diambil tindakan sewajarnya, termasuk kegagalan melaksanakan solat sunat tarawih 20 rakaat.

"Bagi mana-mana masjid dan surau yang hendak mengadakan program tazkirah, mereka boleh mengadakannya selepas selesai solat sunat tarawih.

Artikel Berkaitan:

"Bagi jemputan imam luar, mana-mana pihak yang hendak mendapatkan khidmat imam luar, perlu membuat permohonan kepada Jaipk terlebih dahulu untuk dipertimbangkan kami.

"Namun, saya menyarankan semua masjid dan kariah di negeri Perak mengutamakan khidmat imam dalam kalangan huffaz dan imam anak tempatan kerana di negeri ini sahaja kita sudah mempunyai lebih 40 sekolah tahfiz dan madrasah yang melahirkan ratusan ilmuwan Islam," katanya.

Mohd Yusop turut menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan sebarang penularan perkara tidak benar berkaitan pengeluaran surat pekeliling mengenai peraturan solat sunat terawih dikeluarkan Jaipk baru-baru ini.

"Mereka boleh merujuk mana-mana jabatan agama daerah berdekatan untuk mendapatkan kepastian lanjut," katanya.