Perihal PM dan bekas PM

A
A

MAJALAH berita antarabangsa, Time, menamakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh di dunia.

Beliau tersenarai bersama antaranya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, dan PM New Zealand, Jacinda Adern.

Majalah antarabangsa itu menyebut Tun M sebagai ‘kuda perang gagah’ yang berjaya menghimpun perhatian orang ramai dalam kempen sengit PRU14 yang lalu.

Pada usia 93 beliau menduduki semula kerusi No. 1 di Putrajaya, dan terus menjadi perhatian dunia.

SEMENTARA itu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tercemar dan ditolak rakyat pada PRU14 telah kehilangan kerusi No. 1 dalam kerajaan dan dalam parti.

Untuk beberapa hari ini Ahli Parlimen Pekan itu mula menduduki kerusi di kandang orang tertuduh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau yang dikaitkan dengan 1MDB – skandal terbesar dunia – kini berhadapan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau menghadapi 1 tuduhan salah guna kuasa, 3 tuduhan pecah amanah, dan 3 tuduhan pengubahan wang haram.

Tidak syak lagi walaupun duduk di kerusi lain, Najib, 66, juga masih terus menjadi perhatian dunia...

ADA laporan menyebut Jho Low, jutawan dalam buruan yang dikaitkan dengan 1MDB kini berada dan bergerak bebas di negara China.

Tetapi, Duta China di Malaysia Bai Tian menjelaskan beliau tidak tahu mengenai kedudukan ahli perniagaan kontroversi kelahiran Pulau Pinang itu.

Menurut Bai pihak berkuasa China melakukan pencarian teliti untuk mengesan Jho Low berdasarkan maklumat diberikan Malaysia.

Selain China, Jho Low juga sejak beberapa tahun ini menjadi buruan di beberapa negara lain. Tetapi hingga kini Interpol gagal mengesan si licik bertubuh gempal itu.

Maka The Kleptocrat, dokumentari 80 minit yang ditayangkan secara eksklusif di Kuala Lumpur, baru-baru ini diharapkan dapat memberi pencerahan mengenai bagaimana budak Pulau Pinang itu terlibat dalam skandal terbesar dunia.

Dan, bagaimana si gempal itu dikatakan boleh menipu pemimpin negara sehingga melibatkan kehilangan RM berbilion. Apakah dia betul-betul pandai? Atau, apakah kita yang tidak berapa pandai, sehingga mudah sangat ditipu?

KERAJAAN Selangor memberi amaran akan name and shame jabatan di bawah kerajaan negeri mahupun persekutuan jika persekitaran pejabat mereka dikesan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu diambil untuk memastikan penjawat awam juga serius dalam usaha membanteras aedes.

Statistik pada tahun lepas menunjukkan pejabat kerajaan menyumbang 18.8 peratus daripada jumlah tempat pembiakan nyamuk aedes di Selangor.

Berdasarkan rekod setakat minggu ke-14 tahun ini, Selangor menyumbang 58.67 peratus daripada jumlah demam denggi di seluruh negara.

Rasanya tidak perlu tunggu lama-lama dan boleh terus namakan mana-mana jabatan atau pejabat yang tidak memenuhi peraturan mengawal aedes.

Tidak salah menyebut (name) jabatan yang tidak ikut peraturan. Asal jangan aibkan (shame) mereka.

Satu ketika dulu kerajaan Selangor mengaibkan PBT dengan menghadiahkan penyapu. Akhirnya penyapu itu makan diri; yang memberi penyapu itu akhirnya disapu oleh rakyat dalam pilihan raya.

Kesimpulannya mana-mana yang tidak betul boleh dinamakan, tetapi jangan dimalukan!

AKHIR kalam, masih mengenai pemimpin dan rasuah, BBC melaporkan bekas Presiden Peru, Alan Garcia bertindak menembak dirinya sendiri selepas didakwa terpalit dengan skandal rasuah.

Garcia dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia selepas itu. Kematiannya disahkan oleh Presiden Peru, Martin Vizcarra. Tidak mahu berhadapan hukuman undang-undang Garcia menghukum dirinya sendiri, dengan peluru.

TOK PERAK


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.