Selaraskan harga lesen PSV, insurans

Pemandu e-hailing mengadakan himpunan aman mendesak kerajaan perhalusi kaji pelaksanaan e-hailing.
Pemandu e-hailing mengadakan himpunan aman mendesak kerajaan perhalusi kaji pelaksanaan e-hailing.
A
A
A

IPOH - Kerajaan diminta menetapkan harga lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan insurans bagi pemandu e-hailing berikutan kadar yang dikenakan berbeza mengikut negeri dan kawasan.

Pemandu e-hailing Perak, Ramli Ahmad Razali, 50, berkata, ramai pemandu mempersoalkan mengapa harga lesen PSV dan insurans yang dikenakan ke atas mereka berbeza mengikut kawasan dan negeri.

"Kerajaan perlu kaji dan perhalusi semula sistem e-hailing termasuk penetapan harga lesen PSV dan insurans yang agak bercelaru dan tak seragam di seluruh negara.

"Kenapa kebanyakan tempat harga lesen PSV tak sama. Misalnya di Kuala Lumpur harganya cuma RM80 hingga RM90, di Tanjung Malim RM130 dan beberapa kawasan di Perak ada sampai RM200," katanya.

Ramli berkata demikian ketika mengadakan perhimpunan aman melibatkan lebih 60 pemandu e-hailing Perak bagi meminta kerajaan mengkaji dan memperhalusi beberapa perkara melibatkan pelaksanaan e-hailing di perkarangan Stadium Perak, di sini, semalam.

Selain daripada meminta kerajaan menyeragamkan kadar lesen PSV dan insurans, pemandu-pemandu e-hailing Perak turut meminta kerajaan mempertimbangkan beberapa lagi cadangan mereka.

"Kami juga minta kerajaan lanjutkan tempoh permohonan lesen PSV bagi pemandu e-hailing, selain beri subsidi kepada insurans yang ditetapkan kerana ia agak membebankan.

"Harap kerajaan juga pertimbangkan semula syarat tagging kepada kenderaan yang hanya benarkan ia dipandu oleh pemandu e-hailing, sedangkan kereta tersebut juga digunakan ahli keluarga lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pemandu e-hailing, Chen Chi Rao, 59, berkata, dia dan pemandu lain menyokong sepenuhnya cadangan kerajaan melaksanakan e-hailing namun ia memudahkan pemandu dan bukan membebankan mereka.

"Misalnya silibus untuk ambil lesen PSV hanya ada dalam Bahasa Melayu dan tidak ada dalam Bahasa Inggeris, jadi saya harap ia dapat disediakan dalam dwibahasa," katanya.

November lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata semua pemandu perkhidmatan e-hailing mesti membuat pendaftaran lesen PSV seperti pemandu teksi lain mulai Januari tahun ini.

Loke berkata, pemandu diberi tempoh sehingga 12 Julai tahun ini untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV mereka termasuk mengikuti kursus PSV.

"Kita mula kuatkuasakan peraturan baru kerana itu ialah tempoh yang kita beri, maksudnya menjelang 12 Julai 2019, semua pemandu e-hailing mesti ada pendaftaran dan lesen PSV, insurans dan kenderaan yang melebihi tiga tahun perlu buat pemeriksaan kenderaan," katanya.