Adun Kepayang demo minum minyak sawit merah

Dr Ko Chung Sen membuat demo minum minyak sawit.
A
A

IPOH - ADUN Kepayang, Dr Ko Chung Sen, hari ini menarik perhatian Sidang DUN Perak dengan tindakannya minum minyak sawit merah.

Tindakan dibuat wakil rakyat DAP itu adalah rentetan kempen ‘Sayangi Minyak Sawitku’ yang dibawa pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam kempen itu, beliau mengajak semua sidang dewan menyokong produk minyak sawit merah yang mengandungi banyak khasiat.

Bagi membuktikan kempen itu, beliau kemudiannya menuang secawan minyak sawit merah yang dibawa sebelum diminum.

Sebaik sesi perbahasan ditangguhkan, beberapa wakil rakyat termasuk pembangkang mengerumuni tempat duduknya untuk melihat secara lebih dekat minyak sawit merah terbabit.

Antara ADUN yang berbuat demikian ialah Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria (Batu Kurau-BN); Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering-BN) dan Mohd Akmal Kamarudin (Selama-Pas) dan Datuk Aznel Ibrahim (Pengkalan Hulu-BN).

Beberapa wakil rakyat turut mencuba meminum minyak sawit berkenaan.
Beberapa wakil rakyat turut mencuba meminum minyak sawit berkenaan.

Mereka turut berkongsi momen minum minyak sawit merah itu bersama.

Dalam perbahasannya, Chung Sen yang juga seorang doktor pakar bedah jantung memberitahu minyak sawit merah mampu mengurangkan kadar kolesterol, risiko sakit jantung, alzheimer selain membantu meningkatkan kesihatan otak.

“Minyak ini menjadi mudarat apabila disalahguna iaitu menggunakan kembali minyak tersebut selepas memasak sehingga menjadi hitam, itu yang tidak baik untuk kesihatan," katanya.

Menurutnya, harga minyak sawit yang lebih murah berbanding dengan harga minyak lain seperti minyak kelapa, zaitun, soya dan bunga matahari adalah antara sebab mengapa ia harus dijadikan pilihan utama rakyat Malaysia.

“Bukan sahaja murah malah ia lebih sihat, minyak sawit ini juga adalah hasil daripada usaha para peneroka dan pekebun kecil kita. Jadi kita seharusnya menyokong,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia