Ketua Hakim Negara: Nama calon sudah diserahkan kepada Agong

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Calon Ketua Hakim Negara bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-raja.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini kerajaan masih menanti kelulusan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja berhubung lantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

"Nampaknya ada peruntukan sebelum lantikan Ketua Hakim Negara telah dibuat, ia perlu dipertimbang dan diputuskan oleh Majlis Raja-raja, bukan hanya keputusan daripada Agong.

"Kami (kerajaan) telah memaklumkan kepada Agong, jadi terdapat keperluan untuk baginda memaklumkan perkara tersebut kepada Majlis Raja-raja yang lain.

"Bagi pihak kerajaan, kami sudah selesai. Sekarang cuma tunggu keputusan dan kelulusan daripada Agong dan Majlis Raja-raja berkenaan lantikan Ketua Hakim Negara yang baharu," katanya pada sidang media di Yayasan Albukhary, di sini, hari ini.

Pada 12 April lalu, Richard telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara selepas mencapai usia bersara wajib iaitu 66 tahun enam bulan.

Beliau yang akan mencapai usia 67 tahun pada 13 Oktober ini, menjawat jawatan berkenaan selama sembilan bulan.

Tempoh perkhidmatan beliau sebelum ini dilanjutkan selama enam bulan, seperti yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Richard mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai 2018.

Beliau yang sebelum itu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, menggantikan Tun Md Raus Sharif, yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, berkata beliau sudah mempunyai calon pengganti dan akan mengumumkannya kelak.