Lelaki ditahan orang awam selepas ragut kamera pelancong

Lelaki berkenaan berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang lelaki berjaya ditahan awam selepas meragut sebuah kamera milik pelancong asing wanita di Jalan Kampung Pantai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 7.30 malam itu, mangsa, warga Perancis berusia 26 tahun berjalan kaki seorang diri untuk pulang ke rumah tumpangannya di kawasan itu selepas membeli barang di sebuah kedai di Jonker Walk.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sewaktu mangsa di lorong Jalan Hang Lekiu, seorang lelaki yang tidak dikenali menolak mangsa ke tepi dan berlaku pergelutan di antara mangsa dengan individu itu.

Suspek dipercayai mengambil kesempatan meragut kamera jenis Fujifilm Finepix S berwarna hitam yang disandang pada bahu mangsa.

Menurutnya, mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum jeritannya didengari beberapa orang awam yang secara kebetulan melalui jalan berkenaan.

"Suspek kemudian terus melarikan diri dan dikejar orang awam sebelum berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi mangsa.

"Mangsa yang berada di negara ini sejak 19 Mac lalu, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan luka di bahagian dahi, bahu kiri serta lengan kiri, manakala suspek berusia 32 tahun telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, ketika tangkapan dibuat polis turut menemui kamera milik mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.