Pindaan Akta Insolvensi 1967 tambah baik sistem kebankrapan

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Insolvensi sedang merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 [Akta 360], bagi menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan, termasuk pemakaian cadangan pindaan terhadap kes kebankrapan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara cadangan pindaan ialah penetapan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh Pemiutang (Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360), untuk mengelakkan isu kelewatan pemfailan yang boleh menyukarkan pelepasan individu bankrap.

Cadangan lain, membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik di bawah Seksyen 33C Akta 360, agar individu yang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang lebih singkat.

"Turut dipertimbangkan ialah membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kes kebankrapan, bagi memudahkan urusan pelanggan, pihak berkepentingan dan jabatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina berkata cadangan lain ialah membuat penambahbaikan kepada Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360, dengan memansuhkan kewajipan untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang, agar pentadbiran kebankrapan boleh diteruskan dengan segera.

Beliau berkata, kerajaan juga mempertimbangkan untuk menambah kategori kes yang boleh dilepaskan melalui Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (Sijil KPI), tanpa bantahan oleh pemiutang kepada golongan bankrap yang berumur 70 tahun dan ke atas.

Kategori kes yang boleh dilepaskan melalui Sijil KPI itu turut dicadang kepada individu bankrap yang tidak berkeupayaan, kerana telah disahkan sebagai pesakit mental di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615].

Azalina berkata, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk membincangkan hal berkaitan cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan, akan diadakan pada 7 Februari 2023.

"Cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dijangka akan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, selepas mengambil kira input sesi libat urus,” katanya.

Azalina turut memaklumkan jumlah kes kebankrapan didaftarkan pada 2018 sehingga 2022 sebanyak 49,133 kes dengan 5,695 kes (2022), manakala jumlah kes dilepaskan Sijil KPI di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] bagi tempoh yang sama, 87,427 kes.

"Berdasarkan statistik 2022, secara purata sebanyak 16 kes kebankrapan didaftar pada setiap hari. Walau bagaimanapun jumlah kes kebankrapan yang dilepaskan melalui Sijil KPI bagi tempoh yang sama secara purata, sebanyak 27 kes bagi setiap hari,” katanya.

Beliau berkata ekonomi, kewangan, perundangan dan kemasyarakatan merupakan elemen yang penting dalam pembuatan dasar Malaysia Madani dan kerajaan mengambil maklum tentang cabaran yang dihadapi golongan yang bankrap dan stigma kebankrapan dalam masyarakat. - Bernama