X

Kindly register in order to view this article
!

PSR: MPFN belum buat sebarang kelulusan

Khalid Abd Samad
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) belum membuat sebarang kelulusan atau persetujuan berhubung projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) seperti yang dinyatakan oleh kerajaan negeri itu sebelum ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad berkata, menerusi satu mesyuarat yang berlangsung semalam, MPFN mendengar dan mempertimbangkan cadangan pelan induk PSR tersebut selaras dengan peruntukan perenggan 2A (2) (b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

"Kerajaan Pulau Pinang perlu mengikut 18 nasihat itu berserta dengan ulasan dan nasihat tambahan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, Kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan untuk terus mengadakan rundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang terkesan dengan pembangunan ini bagi memastikan keperluan mereka diberikan perhatian sewajarnya.

"Suka juga diingatkan bahawa permohonan ini perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi berkaitan,"katanya.

Menurutnya, memandangkan permohonan yang dikemukakan sebelum ini adalah berbentuk pelan induk, ia perlu dikemukakan semula bagi mendapatkan nasihat MPFN di bawah sub seksyen 22 (2A), Akta 172.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan bahawa cadangan projek PSR itu mendapat kelulusan daripada MPFN.

Kon Yeow dalam kenyataannya juga memaklumkan bahawa MPFN turut memberikan 18 nasihat yang perlu dipatuhi oleh kerajaan negeri selepas ini.