Pegawai bomba maut nahas dalam perjalanan ke tempat kerja

Mohd Mohaimi
Mohd Mohaimi
A
A
A
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai bomba dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Kubor, Tumpat maut selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Jal Besar di daerah itu pada Jumaat.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Mohaimi Mohammad, 35, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu pada jam 4.42 pagi.

Ketua Balai Bomba Pengkalan Kubur, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Anuar Yaacob berkata, bapa tiga anak itu terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha NVX 155 ke tempat kerja pada jam 7.46 pagi, Khamis.

“Mangsa kemalangan dengan sebuah motosikal lain jenis Yamaha Ego.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kelaboran, Tumpat untuk rawatan dan dirujuk ke HUSM kerana kritikal sebelum meninggal dunia pada awal pagi ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, arwah meninggalkan tiga anak dan isteri yang sarat mengandung lebih lapan bulan serta menunggu masa bersalin.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Sangkut, Pasir Mas selepas solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, di rumah arwah di Rantau Panjang, isteri dan keluarga arwah dalam keadaan terkejut dan bersedih atas kejadian menimpanya.

Sepupu mangsa, Syaherah Mustafa, 31, juga wartawan sambilan Berita Harian menyifatkan mangsa seorang suka membantu dan memudahkan urusan orang lain.

“Dia seorang yang berdedikasi dalam pekerjaannya dan suka berkongsi maklumat program-program dianjurkan bomba.

“Kami sekeluarga reda dan mengarahkan isteri awrah serta anak-anaknya terus tabah menerima ketentuan Ilahi,” katanya.