'Win-win situation’ elak kemelut Malaysia-Singapura

Tunku Ismail bersama dua pegawai yang disebutkannya.
Tunku Ismail bersama dua pegawai yang disebutkannya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap kemelut yang berlaku antara Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Katanya, permasalahan itu juga diharap boleh diselesaikan dengan cara yang sesuai serta memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

"Saya berharap kedua-dua negara dapat mencari penyelesaian ’win-win situation’ untuk sama-sama berjaya.

"Tidak perlu terperangkap dengan isu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya menerusi laman Facebooknya, sebentar tadi.

Dalam posting yang sama, Tunku Ismail turut berkongsi pengalamannya bersama beberapa kenalan dan rakan sekerja daripada kedua-dua negara.

Menurut daripada apa yang dinyatakan dalam posting itu, dilihat Tunku Ismail tidak mahu berlaku sebarang perpecahan dan hilang kepercayaan kedua-dua negara yang begitu akrab sebelum ini.

"Di sebelah kanan saya ialah Prem Singh dari Unit Cawangan Khas, Singapura. Beliau telah menjaga saya selama sembilan tahun.

"Di sebelah kiri saya pula adalah Leftenan Kolonel Samsyawal Muhamad dari Angkatan Tentera Malaysia (Unit Gerak Khas), yang merupakan rakan ‘sniper’ saya ketika saya menjalani kursus Pegawai Muda di Pulada pada tahun 2002.

Artikel Berkaitan:

"Di sini saya berada di tengah-tengah antara Singapura dan Malaysia. Kami bertiga adalah rakan baik, bekerjasama dengan baik dalam organisasi yang sama," jelasnya.

Meskipun tidak ditujukan dengan jelas perkara itu, kenyataan putera sulung Sultan Johor itu adalah merujuk kepada beberapa insiden dan kemelut yang berlaku antara dua negara berkenaan sejak kebelakangan ini.

Kemelut berkenaan adalah membabitkan isu pencerobohan perairan dan ruang negara daripada menteri di kedua-dua pihak.

Terbaharu, media turut melaporkan Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini kerana laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.