KM Pulau Pinang dedah 18 nasihat MPFN

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan 18 nasihat oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dalam persetujuannya untuk melaksanakan cadangan projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kebanyakan nasihat berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri menyebabkan ia tidak sukar untuk diterima.

"Kebanyakan nasihat yang diberikan tidak memberi kekangan kepada kerajaan negeri untuk menunaikannya sebaliknya dilihat sebagai tambah baik usaha sedia ada," katanya.

Menurutnya, antara nasihat tersebut adalah perlu menjadikan kawasan tambahan laut itu sebagai kawasan bandar pintar dengan mereka bentuk bangunan ikonik serta kemudahan berkaitan dilengkapi teknologi terkini.

"Selain itu, kerajaan negeri perlu mengkaji kemungkinan untuk membangunkan Taman Industri dan Teknologi Tinggi berasaskan kepada Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang memfokuskan automasi, kecerdasan buatan, robotik dan internet untuk segala (IoT).

"Projek ini juga perlu mengintegrasikan konsep kejiranan atau komuniti hijau dengan mencadangkan laluan basikal, pejalan kaki, tempat pengurusan sampah (reduce, reuse,recycle) dalam cadangan pembangunan. Nasihat ini saya kita sudah pun laksanakan, malah Pulau Pinang negeri pertama yang melaksanakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, dalam konteks penyediaan kemudahan, antara yang perlu dipenuhi adalah penyediaan kawasan lapang yang cukup dan berfungsi untuk tujuan rekreasi aktif dan pasif.

"Ia perlu disediakan di lokasi yang mudah dikunjungi bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dinikmati masyarakat setempat. Selain itu, kerajaan negeri perlu mematuhi syarat ditetapkan dalam laporan seperti Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Trafik (TIA).

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, pemaju projek juga perlu menyediakan dan mematuhi banyak laporan termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), Penilaian Impak Sosial (SIA), Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA), Penilaian Impak Perikanan (FIA) mengikut keperluan pihak berkuasa berkaitan," katanya.

Menurutnya, MPFN juga menasihatkan kerajaan negeri menyediakan kawasan khas untuk pembangunan rumah mampu milik bagi memastikan kawalan harga dapat ditentukan pihak berkuasa serta mewujudkan pembangunan yang inklusif.

"Kerajaan negeri juga perlu mengambil kira dasar dan arahan semasa kerajaan Persekutuan terutama ketetapan sementara Kabinet mengenai pembekuan kelulusan pembangunan pusat membeli belah, pejabat, kondominium dan pangsapuri mewah yang melebihi RM1 juta berkuat kuasa 1 November 2017.

"Selain itu, kita perlu mengemukakan permohonan kebenaran merancang kepada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan yang berkaitan. Permohonan ini hendaklah dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat MPFN jika fasa pembangunan dicadangkan tertakluk di bawah subseksyen 22(2A), Akta 172," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga perlu menunggu maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkenaan laporan EIA terbaru yang dikemukakan rakan pelaksana projek, SRS Consortium sebelum projek berkenaan boleh dimulakan.

"Laporan kedua EIA itu sudah dihantar kepada JAS pada Februari lalu dan dijangka dipaparkan kepada umum di beberapa lokasi terpilih selama sebulan bermula 29 April ini," katanya.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan MPFN bersetuju untuk melaksanakan cadangan projek PSR yang dikemukakan Kerajaan Pulau Pinang.

MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menimbang cadangan projek itu dan bersetuju pelaksanaannya dengan mematuhi 18 nasihat yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN:

MPFN setuju cadangan PSR

CAP bimbang PSR diluluskan

MPFN tiada kuasa meluluskan, hanya menasihat: KM