Pakar beri amaran bahaya plumbum

Muka depan Sinar Harian. Gambar kecil: Dr Sharifuddin dan Dr Mohd Hasni
Muka depan Sinar Harian. Gambar kecil: Dr Sharifuddin dan Dr Mohd Hasni
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar-pakar memberi amaran mengenai tahap kesihatan dan keselamatan penduduk Kampung Jenjarom yang berisiko terjejas teruk jika terus terdedah kepada kesan pencemaran plumbum di kawasan berhampiran penempatan mereka.

Ketua Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Malaya, Prof Dr Sharifuddin Md Zain berkata, kesan pencemaran plumbum cukup berbahaya dan akan memberikan kesan terutama kepada otak, hati, buah pinggang dan tulang hingga akhirnya boleh membawa maut kepada mangsa.

“Plumbum diklasifikasikan sejenis logam berbahaya dan perlu diuruskan dengan baik bagi mengelakkan keracunan kepada orang ramai. Pencemaran plumbum boleh masuk melalui banyak cara antaranya melalui air dan hidu. Kesan keracunan boleh menyerang sistem saraf yang menyebabkan koma dan kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Plumbum ancam penduduk Jenjarom

“Seseorang yang keracunan plumbum dalam jangka masa panjang sukar untuk dirawat,” katanya.

Justeru, kata Sharifuddin, jika seseorang itu tinggal di kawasan yang berisiko terkena keracunan plumbum dan mengalami masalah kesihatan, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital.

Pakar akademik dalam bidang kimia itu memberi pandangan mengenai ujian ke atas sampel rambut beberapa penduduk Kampung Jenjarom yang didapati mengandungi plumbum dari 0.5 hingga 4.55 mg/kg dipercayai kesan pencemaran bahan itu akibat kewujudan sebuah kilang bateri yang beroperasi berhampiran kurang 500 meter dari perkampungan Melayu itu.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Hasni Jaafar berkata, jangka hayat plumbum di dalam udara adalah sekitar 30 hingga ke 40 tahun dan pencemaran logam berat berkenaan dari sesebuah industri mampu disebarkan sejauh lima kilometer bergantung pada arah angin.

“Dalam badan manusia pula, logam berat ini boleh bertahan selama lima ke tujuh tahun. Kaedah terbaik untuk mengesan keracunan plumbum ini adalah melalui sampel darah berbanding sampel lain seperti rambut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung ujian makmal yang menemukan unsur plumbum dalam rambut beberapa penduduk Kampung Jenjarom, pakar berkenaan tidak dapat menganalisis secara tepat kerana ia memerlukan tinjauan dan kajian mendalam bagi mendapatkan fakta sebenar.

“Namun, had bagi keracunan plumbum daripada sampel rambut adalah 0.68mg.

Sewajarnya bacaan yang direkodkan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Menyentuh mengenai kesan plumbum, Mohd Hasni berkata, pendedahan plumbum berisiko menyebabkan kerosakan otak kepada bayi dan kanak-kanak, manakala dalam kalangan orang dewasa akan memberi kesan kepada sistem saraf, jantung, buah pinggang dan sum-sum tulang.

“Keracunan plumbum mampu mematikan sel- sel jantung secara perlahan-lahan dan menyebabkan jantung lemah serta mengganggu fungsi jantung,” katanya.

Tambah Mohd Hasni, bagi kanak-kanak, sistem otak bayi dan kanak-kanak yang masih lagi tidak matang menyebabkan plumbum yang diserap masuk melalui proses penafasan boleh terus menyerang otak serta mempengaruhi sikap kanak-kanak berkenaan.

“Keracunan plumbum memberi kesan ketidakstabilan neurotransmitter dalam otak dan mengganggu kawasan hipokampus. Ini yang mengatur emosi dan sikap kanak-kanak sehingga cenderung terbabit dalam masalah seperti buli dan gengsterisme,” katanya.