Edar lebih 1.66kg dadah: Hukuman mati ke atas wanita Vietnam kekal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita Vietnam yang datang ke Malaysia untuk mencari ‘bakal suami’ gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati yang dihadapinya selepas didapati bersalah mengedar lebih 1.66 kg dadah methamphetamine di Lapangan Terbang Kuala Terengganu, enam tahun lepas.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan Tran Thi Tat, 36, terhadap hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Terengganu pada 27 Mac 2017.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mempengerusikan panel itu berkata Hakim Datuk Stephen Chung Han Guan bersetuju dengannya untuk menolak rayuan wanita itu manakala Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal mempunyai pendapat yang bertentangan.

Tran, seorang peniaga, didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 1,669.8 gram di Pintu Keluar Balai Ketibaan Domestik, Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu pada 9.30 pagi 9 Nov 2013.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Ghazali Ismail yang mewakili Tran dan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir bagi pihak pendakwaan.

Ghazali dalam hujahannya berkata Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusannya menyabitkan anak guamnya kerana wanita itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang berada di dalam begnya.

Katanya anak guamnya membawa beg yang tidak mempunyai roda itu dari India dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ke Lapangan Terbang Kuala Terengganu.

“Semasa di India, beg anak guam saya rosak dan suami kawannya telah membelikan beg baharu. Anak guam saya tidak memeriksa beg itu tetapi terus memasukkan baju ke dalam beg yang baharu itu. Oleh itu anak guam saya tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah yang berada di dalam beg itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dhiya Syazwani Izyan berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi betul dalam keputusannya bahawa wanita itu mempunyai pengetahuan tentang dadah itu berdasarkan keterangan saksi pendakwaan yang melihat wanita itu dalam teragak-agak dan sentiasa melihat ke kanan dan ke kiri semasa berjalan sambil memegang beg.

“Berat beg pula tidak seimbang dengan pakaian yang dibawanya iaitu empat helai baju dan tiga helai seluar,” katanya dan menambah wanita itu dalam pembelaan menyatakan dia datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan dan jodoh.

Hakim Umi Kalthum pula berkata “dia kata datang ke Malaysia untuk cari bakal suami, nak cari bakal suami mesti ambil masa, cukupkah pakaian itu?

Dhiya Syazwani Izyan menjawab “Berat pakaian yang dibawa tidak seimbang dengan berat beg yang dibawanya.” - Bernama