Plumbum ancam penduduk Jenjarom

Lay Peng (kiri) ketika melakukan tinjauan mendapati warna sungai telah menjadi hitam dan tiada lagi ikan hidup dalam sungai, di Kampung Jenjarom.
Lay Peng (kiri) ketika melakukan tinjauan mendapati warna sungai telah menjadi hitam dan tiada lagi ikan hidup dalam sungai, di Kampung Jenjarom.
A
A
A

KUALA LANGAT - Lebih 6,000 penduduk Kampung Jenjarom di sini diancam risiko kerosakan jantung, otak dan sistem saraf selain boleh membawa maut akibat terdedah kepada pencemaran logam berat plumbum.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada sebuah kilang yang beroperasi sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan melalui satu ujian makmal terhadap 12 sampel rambut penduduk dan pekerja kilang itu mengesahkan kehadiran unsur plumbum pada sampel rambut itu.

Bacaan tertinggi ujian sampel tersebut ialah 3,190 mg/kg untuk rambut salah seorang pekerja, manakala bagi sampel rambut penduduk ialah 29.7 mg/kg.

Had bacaan minimum selamat sebelum seseorang terdedah kepada ancaman pencemaran plumbum untuk rambut adalah di bawah 5 mg/kg.

Plumbum dalam darah yang normal adalah di bawah 10 mg/l.

Mereka yang mempunyai paras plumbum dalam rambut melebihi 10 mg/kg perlu berjumpa doktor segera untuk diuji kandungan plumbum dalam darah mereka.

Wakil Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Pua Lay Peng berkata, kerisauan penduduk bermula sejak Oktober lalu apabila mereka melihat sendiri air parit dan sungai bertukar menjadi hitam serta tiada lagi ikan.

Artikel Berkaitan:

Keadaan parit yang dicemari plumbum.
Keadaan parit yang dicemari plumbum.

Kata Lay Peng, pihaknya telah mengambil inisiatif memeriksa sendiri kualiti air berdekatan kilang berkenaan dan mendapati nilai pH air adalah sangat rendah serta berasid.

“Kita ketengahkan aduan ini secara tidak rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sehinggalah kilang ini diarah ‘dihentikan’ operasinya pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Siasat di Kampung Jenjarom baru-baru ini.

Kata Lay Peng, penduduk dilanda kebimbangan apabila mendapati kilang berkenaan seolah-olah masih beroperasi berdasarkan aktiviti keluar masuk beberapa pekerja ke kilang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kemudian memeriksa kualiti air longkang serta sungai baru-baru ini dan terkejut dengan keputusan pencemaran plumbum yang agak tinggi.

“Kita turut melakukan ujian tanah di tepi kilang membabitkan empat sampel dan keputusannya juga mengejutkan apabila sampel tertinggi menunjukkan bacaan 18,078.81 mg/kg,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Kimia Persekitaran dan Alam Sekitar, Abdul Qaiyum Musa berkata, melalui sampel rambut yang telah dianalisis oleh makmal bebas di Shah Alam sememangnya menunjukkan kehadiran kandungan plumbum yang tinggi dalam kalangan penduduk sekitar dan pekerja kilang.

“Manusia boleh terdedah kepada plumbum melalui pelbagai cara seperti pernafasan, sentuhan mahupun pemakanan. Apabila plumbum telah meresap masuk ke dalam badan, bahan toksik ini akan disebarkan ke seluruh organ seperti otak, buah pinggang, hati dan tulang,” katanya.