Kampung angkat bukan program 'gula-gula'

 Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Program Kampung Angkat yang dilaksanakan kerajaan Perak bukan gula-gula untuk komuniti Orang Asli di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, meskipun diakui perkembangan program itu agak perlahan, namun pelaksanaannya dilakukan secara berterusan melibatkan badan berkanun negeri (GLC) dan sektor swasta.

"Apabila bajet negeri yang diperuntukkan untuk Orang Asli diturunkan, maka inilah usaha lain kita buat yang memberi galakan kepada GLC dan swasta laksanakan CSR (program tanggungjawab sosial) mereka.

"Kita sedar banyak lagi kampung yang perlukan pembelaan, tetapi bukan mudah nak jadikan lebih 200 kampung Orang Asli di negeri ini sebagai anak angkat, jadi ia akan berterusan, bukan sekadar one-off, bukan juga untuk menggula-gulakan komuniti Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Salbiah Mohamed (Temengor-BN) pada Persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, antara kampung yang sudah terlibat dalam program itu ialah Kampung Sungai Perah, Parit; Kampung Batu 14, Chenderiang oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP); Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan dan Kampung Orang Asli Lata Kinjang di bawah Lembaga Air Perak (LAP).

"Selain itu, Kampung Sungai Cincin, Chenderiang menjadi kampung angkat kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Kampung Sungai Lerek, Chenderiang dan Kampung Orang Asli Pos Musoh Landing Zon Chenderiang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Kampung Orang Asli Gamus, Sungkai dan Kampung Orang Asli Tidong, Muallim di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI).

"Setakat ini kebanyakan pemilihan kampung adalah di kawasan menteri besar iaitu di Parlimen Tambun dan DUN Chenderiang, ia bukan sesuatu yang diarahkan kerana kita memberi kebebasan kepada GLC dan swasta ini memilih sendiri kampung angkat mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, tahun ini beberapa projek akan dilaksanakan di perkampungan Orang Asli di DUN Temengor antaranya projek bekalan air terawat di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik dengan anggaran kos pelaksanaan RM500,000.

"Kita harap pada pada masa depan lebih banyak lagi syarikat-syarikat tampil untuk menjayakan program ini dengan memilih kawasan-kawasan lain seperti di DUN Temengor.

"Juga projek jalan premix di Kampung Orang Asli Chenawin dan Kampung Orang Asli Sungai Rengat masing-masing melibatkan kos RM100,000 yang memberikan kemudahan asas lebih baik kepada penduduk," katanya.