27 tan metrik sampah cemari Sungai Skudai

Azurawati merasmikan Projek Riverdale 4.0: Floating Wetland di UTM, hari ini.
Azurawati merasmikan Projek Riverdale 4.0: Floating Wetland di UTM, hari ini.
A
A
A

SKUDAI - [DIKEMASKINI] Sebanyak 27 tan metrik sampah dianggarkan mencemari Sungai Skudai setiap bulan namun hanya enam tan metrik sahaja dikeluarkan melalui perangkap sampah yang dipasang di kawasan Impian Emas dan Taman Sutera.

Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Azurawati Wahid berkata, sebahagian besar sampah berada di dasar sungai.

"Kita sudah mulakan projek pemasangan dua perangkap penghujung tahun lepas dan pembersihan sampah terperangkap telah bermula sejak Februari lalu di mana setiap bulan sekitar enam tan metrik sampah telah dikutip, selebihnya hanyut serta terapung terus ke hilir Sungai Skudai.

Perangkap sampah yang dipasang di Sungai Skudai berjaya memerangkap antara dua hingga tiga tan sampah setiap bulan.
Perangkap sampah yang dipasang di Sungai Skudai berjaya memerangkap antara dua hingga tiga tan sampah setiap bulan.

"Hanya separuh sampah yang memasuki sungai ini akan terperangkap di perangkap sampah kerana kebanyakan sampah berada di dasar sungai bercampur antara yang lama dengan yang baharu," katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Projek Riverdale 4.0: Floating Wetland di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Menurutnya, Sungai Skudai merupakan sumber air penting kepada negeri ini namun ia terus dicemari dengan pelbagai jenis sisa sampah.

"Di Sungai Skudai itu sendiri keadaannya tidak berapa sihat dari segi kebersihan. Kita tahu Sungai Skudai ini sumber air bagi negeri Johor jadi pencemaran ini menjejaskan kualiti air itu.

"Pemasangan perangkap sampah sejak empat bulan lalu ini memberi kesan tetapi tidaklah sebesar kesan fizikal yang ada. Kita perlukan beberapa fasa untuk usaha ini memandangkan Lembangan Sungai Skudai yang panjang iaitu sepanjang 46 kilometer," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perangkap sampah yang dipasang di Sungai Skudai berjaya memerangkap antara dua hingga tiga tan sampah setiap bulan.
Perangkap sampah yang dipasang di Sungai Skudai berjaya memerangkap antara dua hingga tiga tan sampah setiap bulan.

Katanya lagi, semua pihak perlu berpegang kepada prinsip menjaga kebersihan tanggungjawab bersama bukan tertumpu kepada mana-mana pihak sahaja.

Sementara itu, dalam ucapannya, Azurawati berkata, usaha UTM bagi memastikan kelestarian sungai dan persekitaran kampus itu wajar dipuji serta diteruskan pada masa akan datang.

"Kerjasama UTM dengan MBIP dalam program ini amat bertepatan dengan perancangan majlis dalam usaha memulihara Sungai Skudai.

"Mengetahui bahawa anak sungai yang mengalir dalam kawasan UTM ini menuju ke Sungai Skudai maka usaha ini selari dengan hasrat MBIP. Saya percaya usaha ini akan membantu MBIP meningkatkan kualiti air Sungai Skudai dan berpotensi diluaskan ke kawasan Iskandar Puteri," katanya.

Projek Riverdale UTM itu telah memasuki fasa keempat dengan memfokuskan kepada aspek pemuliharaan melalui reka cipta 'floating wetland' yang mampu merawat air sungai dengan cara rawatan biologi.

Di mana keupayaan semula jadi tumbuh-tumbuhan dan mikrob dimanfaatkan untuk menyerap nutrien bagi membantu merawat air sungai.