Remaja maut tertimbus sempat bergurau dengan ibu

Penduduk kampung turut serta mencari mangsa yang tertimbus, petang semalam.
A
A

KUALA KRAI - Remaja yang maut tertimbus di Ladang Fokud Bonanza Biak A, Dabong sempat berseloroh dengan ibunya dia akan pakai kain kapan atau baju pengantin terlebih dahulu beberapa hari sebelum kejadian.

Ketika itu, mangsa, Mohamad Amirasyraf Azman,17, berehat bersama ibunya, Siti Rohasni Abd Rashid, 40,di kediaman mereka di Biak.

Bapanya, Azman Abdullah, 46,berkata, isterinya yang mendengar kata-kata anak kedua daripada enam beradik itu tidak menduga itu petanda anaknya akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

"Isteri cuma tegur anak jangan cakap macam tu. Saya pun tak tahu-menahu perbualan isteri dengan Allahyarham dan hanya tahu selepas anak tertimbus.

"Saya paling rapat dengan Allahyarham, tapi tak nampak sebarang perubahan sebelum dia meninggal," katanya ketika menceritakan hari-hari terakhir anaknya selepas jenazah remaja itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemubu pada jam 11 pagi.

Azman berkata, Allahyarham juga turut membelanja rakan-rakannya makan beberapa hari sebelum kejadian selain kelihatan begitu ceria.

"Allahyarham beritahu kawan-kawan dia belanja mereka buat kali terakhir, lepas itu juga dia tidak mahu masuk lagi ke Ladang Bonanza.

"Kawan-kawan tak syak apa-apa dan hanya anggap dia bergurau," katanya.

Bapa kepada enam anak ini berkata, pada hari kejadian Allahyarham turut meminta dia berehat sementara dia yang mendulang.

Semalam, Sinar Harian melaporkan remaja yang hanya bersekolah hingga tingkatan dua tertimbus di Ladang Bonanza ketika mendulang bersama bapanya.

Mayat mangsa ditemui penduduk kira-kira jam 6.45 petang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia