Tiga banduan lolos Penjara Pengkalan Chepa

Abdul Rahim
A
A

KOTA BHARU - Tiga banduan lelaki dari Penjara Pengkalan Chepa telah melarikan diri jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan jam 11.57 malam tadi.

Katanya, tiga banduan lelaki itu berusia 25, 26 dan 40 tahun yang menjalani hukuman penjara di antara 17 hingga 38 tahun di atas pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

Namun, katanya dua banduan dari Kelantan dan seorang dari Perak itu berjaya ditangkap semula awal pagi tadi.

“Pihak polis dan penjara terus melancarkan gerakan mencari dan mengesan banduan ini sebaik sahaja dimaklumkan mengenainya. Pihak polis dan penjara telah mengepung kawasan yang percayai lokasi persembunyian mereka sebelum berjaya menahan semua banduan dalam tempoh singkat.

“Tangkapan pertama dibuat jam 12.30 tengah malam di kawasan Rumah Seri Kenangan, Padang Tembak, Pengkalan Chepa. Manakala, tangkapan kedua dibuat jam 12.45 di kawasan Cure and Care Rehabilitation Centre, Padang Tembak dan tangkapan ketiga jam 4.10 pagi juga di kawasan Rumah Seri Kenangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Rahim juga mengucapkan tahniah di atas tindakan segera yang diambil agar banduan tidak dapat lari lebih jauh dengan mengepung lokasi berkenaan.

Justeru, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau bimbang kerana semua banduan ini telah dapat ditangkap semula.

Katanya, siasatan terperinci masih dijalankan berhubung dengan kejadian itu dan ia disiasat di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.