Isu halal dominasi lawatan Mujahid ke Jordan, Turki dan Bosnia

Dr Mujahid Yusof Rawa
Dr Mujahid Yusof Rawa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mengakhiri lawatan kerja lapan hari ke Jordan, Turki dan Bosnia Herzegovina, lawatan yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala dengan ketiga-tiga negara berkenaan.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam lawatan bermula 12 April lalu itu, Mujahid turut bertukar-tukar pandangan terutamanya tentang isu halal dengan rakan sejawatan di ketiga-tiga negara tersebut.

Ketika lawatan dua hari di Jordan, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Abdel Naser Mousa Abul Bassal, Menteri Waqaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat Suci di Jordan dan kedua-duanya bertukar-tukar pandangan mengenai gagasan yang dibawa negara masing-masing iaitu ‘Rahmatan Lil A’lamin’ serta ‘Amman Message’.

"Selain itu, menteri turut mengadakan sesi Town Hall dan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Al-Manhaj (Pendekatan) Islam di Malaysia’ di Universiti Mu’tah," menurut kenyataan itu.

Di Turki pula, Mujahid mengunjungi Kementerian Perdagangan Turki dan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Menteri Perdagangan dan Pengarah Agensi Halal Turki (HAK).

Sepanjang pertemuan tersebut, pelbagai isu berkaitan halal dibincangkan terutamanya bagaimana kerjasama berkaitan industri halal dapat dijayakan, khususnya melibatkan negara Islam.

Ketika di Turki, Mujahid turut mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Hal Ehwal Islam - sebuah agensi yang menguruskan hal ehwal Islam yang diletakkan di bawah pejabat presiden Turki. Pertemuan itu diadakan bagi bertukar-tukar pandangan berkaitan pengurusan hal ehwal Islam di kedua-dua buah negara.

Dalam lawatan dua hari di Turki, menteri turut melawat Standards And Metrology Institute For Islamic Countries (SMIIC) di Pusat Dagangan Dunia, Istanbul, sebuah institut di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bertanggungjawab menyelaras serta mempromosikan sijil halal di seluruh negara anggota OIC.

Artikel Berkaitan:

"Untuk makluman, Malaysia merupakan anggota lembaga SMIIC. Kehadiran menteri disambut oleh Setiausaha Agung SMIIC, Ihsan Ovut. Memandangkan Malaysia menerajui standard sijil halal dunia, pelbagai perkara dibincangkan dan perkongsian diadakan antara pihak SMIIC dan Menteri terutamanya tentang teknologi dan sijil halal Malaysia di negara-negara OIC,” jelas kenyataan itu.

Mujahid dan anggota delegasi kemudiannya mengadakan lawatan ke Bosnia Herzegovina bagi memenuhi jemputan ke acara Forum Perniagaan Sarajevo (SBF) 2019, di mana Mujahid diberi penghormatan menjadi anggota panel bagi sesi pertama bersama-sama Naib Presiden Turki Fuar Oktay, Menteri Luar Negeri Bosnia Herzegovina Igor Crnadok, Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Montenegro, Kemal Purisic, Menteri dari Maghribi Lah en Daoudi, dan bersama Presiden Dewan Kesatuan dan Bursa Komoditi Turki Mustafa Rifal Hisarciklioglu.

Beliau juga diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan umum di Universiti Sarajevo dan beliau bercakap mengenai ‘Islam as Deen Rahmatan Lil Alamin via Maqasid Syariah: The Malaysian Model’.

"Dengan lawatan kerja ini, pelbagai perkara dapat dikongsi antara Malaysia dan negara yang dilawati. Malah, diharapkan hubungan erat Malaysia dan Bosnia akan membantu rakyat di negara ini meneroka pasaran di rantau Eropah Tenggara," jelas kenyataan itu.- Bernama