Pastikan harga tiket ECRL tak bebankan rakyat

Abbas
Abbas
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Amanah Selangor berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan langkah penyelesaian terbaik dalam menetapkan harga tiket perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan kadarnya tidak membebankan rakyat.

Ketuanya, Abbas Azmi berkata, antara langkah yang dapat diambil oleh kerajaan selepas ini adalah dengan mengembangkan perniagaan angkutan barang (fret) ECRL supaya tambang penumpang dapat direndahkan.

Selain itu, beliau berkata langkah pemberian subsidi kepada penumpang pada tahun pertama operasi ECRL juga dilihat sebagai satu kaedah yang baik dalam mengurangkan bebanan rakyat di negara ini.

"Terdapat keraguan terhadap beberapa butiran projek ECRL ini antaranya seperti ketetapan harga tiket yang dijangka tinggi. Pemuda Amanah Selangor berharap kerajaan dapat mempertimbangkan solusi terbaik dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Pada 12 April, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Contruction Company Ltd (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu ini, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion.

Ia meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai rundingan semula itu, Abbas berkata, Pemuda Amanah Selangor menyambut baik langkah kerajaan bersama kerajaan China menerusi perjanjian tambahan yang ditandatangani sebelum ini.

Menurutnya, keberanian kerajaan dalam rundingan ini seharusnya dipuji berikutan beberapa negara seperti Sri Lanka sebelum ini pernah terperangkap hutang dengan kerajaan China.

"Pemuda Amanah Selangor mengikuti perkembangan terbaru ECRL dan mengucapkan syabas kepada kerajaan atas usaha keras merunding semula projek tersebut dengan kerajaan China," katanya