Sindiket rokok seludup di Pelabuhan Klang lumpuh

Pelbagai rokok yang dirampas. (Gambar kecil: Kenderaan yang diguna untuk mengedar rokok).
Pelbagai rokok yang dirampas. (Gambar kecil: Kenderaan yang diguna untuk mengedar rokok).
A
A
A
KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang mematahkan kegiatan sindiket rokok seludup dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Bukit Tinggi, di sini.

Serbuan kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin, ini dijalankan hasil maklumat dan risikan selama seminggu.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemeriksaan mendapati premis tersebut dijadikan sebagai stor untuk menyimpan pelbagai jenis rokok seludup.

"Sebanyak 1,580 katun pelbagai jenis rokok keretek dan rokok putih dianggarkan bernilai RM24,488 dengan cukai sebanyak RM235,576 telah dirampas.

"Pemeriksaan mendapati kesemua rokok-rokok tersebut disyaki rokok yang tidak dibayar cukai," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, turut ditemui dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Ford Ranger di luar premis tersebut.

Katanya, pihaknya percaya kereta ini digunakan untuk mengedar rokok berikutan penemuan beberapa rokok di dalamnya.

"Kita telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun disyaki penjaga premis," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Artikel Berkaitan: