[VIDEO] Jeti roboh: KPM mulakan siasatan

Dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, di sini, cedera manakala 23 yang lain selamat selepas terjatuh ke laut apabila jeti kampung berkenaan roboh dalam kejadian awal pagi Isnin.
Dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, di sini, cedera manakala 23 yang lain selamat selepas terjatuh ke laut apabila jeti kampung berkenaan roboh dalam kejadian awal pagi Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil langkah untuk menyiasat punca kejadian jeti roboh di Kampung Pababag, Semporna, Sabah yang melibatkan 25 orang murid dan dua guru pada awal pagi Isnin.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan segera juga telah diberikan kepada semua mangsa terlibat dalam insiden berkenaan yang turut melibatkan murid Tabika Kemas.

Menurut kenyataan itu, satu sesi libat urus akan diadakan bersama pemegang taruh dan pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

"KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, cedera manakala 23 yang lain selamat selepas terjatuh ke laut apabila jeti kampung berkenaan roboh dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, tiga guru terpaksa turut terjun ke laut demi menyelamatkan murid yang terjatuh ketika itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan.

“KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan,” tambah kenyataan itu lagi.