PM Libya kutuk sikap membisu sekutu antarabangsa ekoran pemberontakan

Pasukan yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) berjaya menguasai wilayah al-Aziziyah, terletak di selatan Tripoli susulan pertempuran dengan pasukan Jeneral Haftar. - Foto AFP
Pasukan yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) berjaya menguasai wilayah al-Aziziyah, terletak di selatan Tripoli susulan pertempuran dengan pasukan Jeneral Haftar. - Foto AFP
A
A
A

TRIPOLI - LIBYA. Perdana Menteri Libya Fayez al-Serraj mengutuk sikap membisu sekutu antarabangsanya ekoran pemberontakan yang semakin meruncing di Tripoli.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih dari 205 orang dilaporkan terbunuh sejak keganasan tercetus pada 4 April lalu.

Serraj berkata kegagalan untuk menyokong kerajaannya yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh mendatangkan akibat buruk termasuk ancaman militan Daesh yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pemberontakan yang diketuai oleh Jeneral Khalifa Haftar.

"Rakyat mula berasa terabai dan kecewa ekoran sikap membisu komuniti antarabangsa," kata Serraj sambil menekankan pihak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) hingga kini masih gagal mencapai kata sepakat berhubung cara menangani krisis yang semakin membimbangkan itu.

Kemelut di Libya bermula apabila pasukan Tentera Kebangsaan Libya (LNA) dibawah pimpinan Jeneral Haftar dan sekutunya melancarkan apa yang disifatkan sebagai rampasan kuasa ke atas Tripoli.

Serraj yang menerajui Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) pula menegaskan Jeneral Haftar harus dipertanggungjawabkan terhadap keganasan yang dilakukan oleh pasukannya selain mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin berkenaan.

Libya dilanda ketidakstabilan politik dan insiden keganasan sejak kematian Muammar Gaddafi pada tahun 2011. - Agensi

Artikel Berkaitan: