Anwar harus tanya apa nilai dibawa Zahid dalam kerajaan - KJ

Khairy (kiri) yakin Anwar (tengah) mempunyai alasan apakah nilai yang dibawa Zahid dalam Kerajaan Perpaduan. - Foto Awani
Khairy (kiri) yakin Anwar (tengah) mempunyai alasan apakah nilai yang dibawa Zahid dalam Kerajaan Perpaduan. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu enggan mengulas panjang mengenai peranan dan nilai tambah yang dibawa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kerajaan hari ini.

Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda UMNO itu yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai alasan tersendiri menerusi penubuhan Kerajaan Perpaduan, namun berharap ia tidak diberi penilaian yang salah.

"Saya percaya Perdana Menteri memerlukan kerajaan yang stabil dan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil, beliau perlu mempunyai rakan gabungan, gabungan pasca pilihan raya dalam kes ini, yang boleh menambah nilai kepada kerajaannya.

"Persoalan yang perlu ditanya oleh Perdana Menteri sendiri, adakah UMNO dan Zahid menambah pada nilai kerajaannya?" soal Khairy ketika muncul sebagai tetamu dalam program The Breakfast Grill di BFM pada Isnin.

Kata Khairy, berdasarkan pemerhatiannya, situasi semasa akan memberi kesan kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Saya tidak mahu menyatakan ini dari sudut kepentingan peribadi, tetapi saya akan menjawab soalan ini dengan memberi tumpuan kepada keputusan yang telah dibuat dan bukannya mereka yang digantung atau dipecat.

"Ya, saya fikir UMNO akan terjejas, kerana saya rasa orang ramai memberi reaksi yang sangat negatif terhadap keputusan yang dibuat oleh Zahid," tegas Khairy.

Dalam pada itu, Khairy, 47, menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan Ahmad Zahid, malah yakin pemecatannya bukan kerana 'salah taktik' dalam usaha memperbetulkan landasan perjuangan parti.

"Adakah taktik yang salah digunakan? Saya tidak fikir begitu. Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Zahid secara peribadi, saya tetap anggap dia kawan. Dia mungkin tidak menganggap saya sebagai kawan lagi, tetapi saya tidak menentangnya.

"Secara peribadi, saya hanya mahukan pertandingan terbuka kerana hakikatnya beliau menjadi pengerusi ketika parti mengalami kekalahan paling buruk dalam pilihan raya. Dan apa yang saya mahu sangat mudah.

"Jika Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) diminta berundur sebagai Presiden selepas kami kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, jika Najib (Datuk Seri Najib Razak) diminta berundur selepas pilihan raya 2018, paling tidak anda boleh lakukan, jika anda tidak mahu berundur, sekurang-kurangnya membuka pemilihan parti secara terbuka dan membiarkan ahli membuat keputusan," tegas Khairy. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN: Khairy tidak akan merayu pemecatan daripada UMNO

ARTIKEL BERKAITAN: 'Adakah tiada MKT UMNO boleh berfikir tindakan presiden salah?'

ARTIKEL BERKAITAN: PH beri pertimbangan terima pemimpin UMNO dipecat - Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Shahril sepatutnya jadi Ketua Pemuda UMNO’ - KJ

ARTIKEL BERKAITAN: Gantung, pecat Noh, Khairy sah di sisi perlembagaan UMNO