Bapa selamatkan bayi daripada dibawa lari seekor dingo

Bayi tersebut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan belakang kepala. - Foto RACQ LIFELIGHT RESCUE
Bayi tersebut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan belakang kepala. - Foto RACQ LIFELIGHT RESCUE
A
A
A

QUEENSLAND - AUSTRALIA. Seorang ayah berjaya menyelamatkan bayi lelakinya daripada dilarikan seekor dingo ketika berkunjung ke sebuah pulau di Australia, lapor pihak berkuasa.

Menurut pasukan paramedik, dalam kejadian semalam keluarga berkenaan menginap dalam sebuah van di kawasan terpencil di Pulau Fraser, berhampiran pantai Queensland.

"Ibu bapa bayi berkenaan terjaga daripada tidur apabila mendengar suara tangisan bayi mereka yang semakin lama semakin sayup.

"Ayah mangsa kemudian keluar meninjau dan mendapati seekor dingo sedang menyeret anaknya.Dia turut melihat beberapa ekor dingo lain di kawasan sekitar.

"Tanpa berlengah dia berlari menyelamatkan bayinya yang digigit dingo terbabit sambil berusaha menghalaunya," kata seorang anggota paramedik Pulau Fraser, Ben Du-Toit.

Bayi yang dilaporkan berusia 14 bulan itu kemudian dibawa ke hospital menaiki helikopter bagi menerima rawatan ekoran kecederaan pada bahagian leher dan belakang kepala.

Insiden tersebut merupakan serangan ketiga pada tahun ini di Pulau Fraser yang merupakan pulau pasir terbesar di dunia dan destinasi pelancongan popular.

Bulan lalu dua ekor dingo dibunuh apabila seorang wanita dari Perancis dan anak lelakinya diserang haiwan terbabit di Pulau Fraser.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa memberi amaran kepada pengunjung agar berhati-hati ekoran dingo diklasifikasikan sebagai haiwan liar.- AFP