Jangan Ramadan kita komersialkan

A
A
A

MERINDUI Ramadan Al Mubarak adalah suatu anugerah. Bukan sekadar nikmat suasana membeli-belah, beriftar dan bersolat tarawih. Bukan mudah untuk berasa lapar dan dahaga kerana menurut perintah ALLAH SWT itu, sebenarnya suatu nikmat.

Bukan mudah berasakan bulan berpuasa itu saatnya kita menjadi seorang yang paling dekat dengan Pencipta, sekali gus menjadi insan produktif dan paling berdisiplin. Merindui Ramadan sangat istimewa bagi orang yang tahu erti bulan mulia tersebut. Ia suatu pencarian. Ia suatu yang tersendiri apabila ALLAH mengatakan ganjaran diberi langsung kepada ham-banya.

“Orang berpuasa meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya kerana Aku, puasa itu milik-Ku dan Akulah yang akan memberinya balasan." (Hadis Qudsi)

Maksud lain daripada hadis Qudsi tersebut ialah puasa merupakan amalan yang terjauh daripada riyak, kerana hanya ALLAH dan diri pelaku tahu kualiti puasa yang dilakukan.

Kita kini sedang menghitung hari dan bersiap-siap untuk menerima tetamu khas, Ramadan yang mulia. Ia akan membawa limpahan keberkatan, rahmat dan kemuliaan sepanjang bertamu di rumah kita. Kita perlu mengorientasikan segala jadual hidup bagi menyantuni tetamu yang istimewa ini.

Memahami inti pati, erti dan falsafah Ramadan seharusnya menjadikan sese-orang itu inginkan agar sepanjang tahun adalah Ramadan.

Malangnya, kini kita berdepan dengan realiti yang menyedihkan. Komersialisasi Ramadan menjadi industri luar biasa yang diraih keuntungannya semaksimum mungkin oleh pelbagai pihak.

Daripada hidangan bufet berbuka puasa dengan ratusan jenis juadah di hotel, restoran hingga ke majlis iftar khas yang dianjurkan oleh ahli politik mahupun di masjid; kita sedang melihat pembaziran makanan yang luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Buangan sisa pepejal meningkat ketika Ramadan. Ambil sahaja negeri Perlis, direkodkan 25 peratus atau 180 tan makanan sehari terbazir berbanding 130 tan pada bulan-bulan biasa.

Maka, kita menyambut baik kempen yang sedang digerakkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang melancarkan seruan “Berpuasa Bukan Berpesta". Mesej jelas meminta masyarakat berfikir secara serius agar berhenti menyalahgunakan agama dalam promosi komersial. Komersialisasi agama jelas menjadi inti kepada kenapa Malaysia menyerlah dalam pembaziran ketika bulan Ramadan.

Komersialisasi agama yang dimaksudkan ialah wujudnya unsur memperdagangkan, mempengaruhi dan mengeksploitasi agama untuk kepentingan dan keuntu-ngan dalam perniagaan.

Jika dilihat segala papan tanda, iklan di media, promosi di restoran dan hotel, jelas komersialisasi agama sangat menonjol. Bulan berpuasa menjadi wadah masyarakat berpesta makan yang sangat berlawanan dengan tuntutan sebenar agama Islam.

Justeru, pihak berkuasa agama harus mengambil langkah berani melarang pelbagai iklan komersial yang mempromosi bufet berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri yang terang-terangan berlumbaan di medan iklan oleh pengusaha untuk meraih keuntungan lumayan.

Para pengguna pula mempamerkan keghairahan membeli tanpa mengendahkan pedoman Ramadan yang bertujuan mendidik umat agar hidup dalam kese-derhanaan.

Kita tidaklah menghalang para peniaga untuk memanfaatkan permintaan yang tinggi ketika Ramadan dan Syawal, akan tetapi mempromosi pelbagai barangan termasuk makanan yang akhirnya menjadi barangan dibazirkan dengan begitu banyak, tidak boleh diterima.

Maka, harus ada sikap kritikal para pengguna terhadap memperdagangkan agama. Bukan sahaja ia suatu penistaan, malah boleh dilihat sebagai sabotaj agama.

Agama Islam telah menjadikan Rama-dan sebagai bulan mengekang hawa nafsu dengan mengehadkan makan dan minum serta mendidik mereka yang berpuasa erti insan bertakwa.

Menghentikan komersialisasi agama adalah kempen yang tepat dan wajar. Mari kita jadikan Ramadan kali ini paling nekad untuk memerangi pembaziran dan pemer-dagangan agama. Hanya dengan cara itu, gejala kerosakan umat Islam dapat dibendung.

* Mohd Azmi ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu