USIM jalin MoU martabatkan pendidikan Islam OKU

Datuk Dr Musa (tengah) semasa merasmikan Ibnu Ummi Maktum Street sambil disaksikan rakan MoU, Datuk Mah Hassan dan Gharizah (kanan).
Datuk Dr Musa (tengah) semasa merasmikan Ibnu Ummi Maktum Street sambil disaksikan rakan MoU, Datuk Mah Hassan dan Gharizah (kanan).
A
A
A

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjalin persefahaman dengan tiga syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memartabatkan pendidikan Islam dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Program diterajui Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM itu membabitkan kerjasama dengan KL Braille Resouces, Aq Wise Sdn Bhd dan Rumah Ngaji Negeri Sembilan, bagi menggembleng sumbangan pelbagai pihak dalam usaha menyemai kehidupan Islam dalam kalangan OKU.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, berkata melalui kerjasama itu, USIM akan menawarkan khidmat rundingan dan kepakaran berkaitan pendidikan serta agama kepada golongan OKU.

“Usaha murni ini membuka ruang buat USIM bekerjasama dengan syarikat serta pertubuhan NGO yang mana syarikat dan NGO terbabit mempunyai kepakaran serta kemudahan tertentu dalam meningkatkan bahan rujukan berkaitan pembudayaan al-Quran dalam kalangan penuntut, masyarakat dan golongan OKU.

“Ia termasuk memberi tumpuan kepada aspek pembangunan tadabbur al-Quran tematik melalui multimedia, meningkatkan kadar literasi dan ruang ilmu kepada komuniti OKU penglihatan.

“Selain itu, memberi ruang kepada mereka khususnya pelajar USIM yang berminat untuk menambah pengetahuan dalam bidang pendidikan khas (penglihatan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perasmian UMMI Street antara USIM dengan syarikat serta NGO terbabit, di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) di sini.

Artikel Berkaitan:

Gharizah semasa Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) bersama USIM semalam.
Gharizah semasa Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) bersama USIM semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Datuk Dr Roshada Hasim, Pengarah Urusan KL Braille, Datuk Mah Hassan Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Aq Wise, Raja Zainal Abidin Shah Raja Izhar dan Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim.

Sementara itu, Mah Hassan berkata syarikatnya merupakan salah satu pembekal al-Quran Braille, berharap kerjasama itu akan dapat membantu penuntut bukan saja dalam kalangan OKU tetapi juga penuntut biasa untuk mempelajari al-Quran Braille.

“Mereka boleh mempelajari Braille untuk memudahkan penuntut memberikan bantuan dan khidmat kepada ahli keluarga dan masyarakat. “Bagi OKU, kemudahan ini dapat membantu mereka mendapatkan kerjaya yang sesuai,” katanya.

Dr Rashada pula berkata, lebih 1,000 penuntut FPQS bakal mendapat manfaat daripada kerjasama yang terjalin itu.

Katanya, semua penuntut di FPQS, diwajibkan mempelajari Braille sebagai suatu pendekatan dan memberi nilai tambah kepada mereka meningkatkan kemahiran.

Dalam majlis itu juga, Musa turut merasmikan Ibnu Ummi Maktum Street atau lebih dikenali sebagai UMMI Street iaitu sudut di bangunan FPQS yang menjadi laluan bagi para mahasiswa dan pengunjung untuk ke Makmal Quran Braille.