Malaysia, Jordan kukuh jalinan kerjasama

Malaysia, Jordan
Malaysia, Jordan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Jordan meningkatkan kerjasama dua hala kedua-dua negara dan memperkukuh jalinan dalam bidang pendidikan dengan menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU), hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, antara keutamaan dalam memorandum yang ditandatangani di Amman, Jordan itu adalah untuk meningkatkan bilangan kemasukan pelajar Jordan ke Malaysia serta pelajar Malaysia ke Jordan.

“Sehingga Disember 2018, terdapat 2,098 pelajar Jordan di Malaysia dengan pecahan 1,431 orang di institusi pendidikan tinggi awam dan 667 orang di institusi pendidikan swasta, dan kebanyakannya dalam bidang Kejuruteraan, Pentadbiran Perniagaan dan Sains.

“Memorandum turut menggariskan cadangan meningkatkan lagi kemasukan pelajar Malaysia ke Jordan terutamanya dalam bidang Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Perubatan di mana sehingga kini seramai 1,383 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Jordan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata kedua-dua negara turut berharap untuk meningkatkan kerjasama menerusi perkongsian ilmu pengetahuan antara golongan akademik Jordan dan Malaysia selain mewujudkan keamanan menerusi dialog pembangunan dan kesaksamaan dalam kalangan negara Islam.

MoU itu ditandatangani Maszlee dan Menteri Pendidikan Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Jordan Dr Walid Al Maani.

Pada majlis itu, Maszlee turut dianugerahkan gelaran Doktor Kehormat dalam ‘Islamic Juriprudence’ dan Teori Kehakiman oleh Universiti Al Al-Bayt sebagai tanda jalinan kerjasama antara dua buah negara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: