Giliran Felcra Bhd disiasat SPRM

FELCRA
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat penemuan dalam audit pengurusan.

Katanya, ini kerana audit luar yang dilantik dengan kerjasama audit Felcra telah melaksanakan semakan dan siasatan menyeluruh serta menemui beberapa penemuan yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM.

“Ia demi menjaga kepentingan umum khususnya kerajaan, warga peserta, dan staf keseluruhannya.

“Sebelum ini, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab ketika berucap di hari pertama beliau memegang tanggungjawab, telah mengarahkan supaya audit pengurusan ke atas pengurusan Felcra dibuat secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pengurusan Felcra akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan.

“Pihak pengurusan juga akan memastikan supaya mana-mana pihak yang didapati terlibat dan bersalah akan diadili dengan seadilnya mengikut tingkat-tingkat hukuman yang digunapakai kini,” katanya.