Mahkamah tolak permohonan pasukan peguam Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan kelayakan saksi keenam daripada memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa keterangan Zulkarnain Mohamad adalah relevan kerana berkaitan dengan tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Najib.

Terdahulu, selepas Zulkarnain, pereka dalaman ABS Trend Master Sdn Bhd mengangkat sumpah untuk memberi keterangan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan, membuat permohonan secara lisan untuk menggugurkan kelayakan saksi itu daripada memberi keterangan dengan alasan keterangan saksi itu tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.

"Kami (pasukan pembela) perlu membangkitkan perkara ini sebelum saksi mula memberi keterangan. Keterangannya tidak berkaitan dengan pertuduhan kerana anak guam saya dituduh menerima wang dan bukannya membelanjakan wang,” kata beliau.

Pasukan pendakwaan hyang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bahawa keterangan Zulkarnain mungkin menunjukkan jejak transaksi pengubahan wang haram dari segi menerima hasil daripada kegiatan haram.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berhujah bahawa keterangan sasi keenam adalah perlu bagi kes pihak pendakwaan bagi tujuan mengetahui jejak pengaliran wang oleh tertuduh. Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoz, Datuk V.Sithambaram pula berhujah bahawa pihak pendakwaan memanggil saksi tersebut untuk membuktikan unsur-unsur pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh

"Itulah sebabnya saksi tersebut dipanggil. Mahkamah tidak boleh menolak buktinya tanpa mendengar keterangan itu terlebih dahulu, kerana ia terlalu awal pada peringkat ini,” kata beliau.

Pada pembukaan prosiding tengah hari, pihak pendakwaan sekali lagi membuat permohonan lisan untuk prosiding esok ditangguhkan kerana anggota-anggota pasukan pendakwaan perlu menghadiri mesyuarat mengenai pemisahan kuasa antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee kemudian bersetuju dengan cadangan itu sambil berkata anggota pasukan pembelaan juga perlu menghadiri mesyuarat penting.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan kedua-dua permohonan itu dan menangguhkan prosiding esok sehingga isnin, 22 April pada 9 pagi.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Bernama