MATTA Fair sasar 250,000 pengunjung

Dari kiri, Hamzah, Kho, Mala dan Nigel semasa sidang akhbar pada Jumaat
Dari kiri, Hamzah, Kho, Mala dan Nigel semasa sidang akhbar pada Jumaat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) kali ini menyasarkan sehingga 250,000 pengunjung berbanding hanya 43,996 pada September lalu.

Pengerusi Penganjur, Rocky Kho berkata, ini kerana pameran yang berlangsung pada 17 hingga 19 Mac ini akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang mempunyai keluasan sehingga 37,645 meter persegi.

Jelas beliau, berbanding dengan tempat yang dilakukan sebelum ini iaitu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), MITEC mempunyai keluasan 30 peratus lebih besar.

Tambahnya, sasaran jualan juga meningkat sehingga 50 peratus iaitu mencecah RM400 juta berbanding jualan tertinggi sebelum ini pada Mac 2019 sebanyak RM220 juta.

“Sebelum ini, kita laksanakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), keadaan ruang pameran di seberang sungai itu sudah tidak tersedia lagi telah menyukarkan kami.

“Di samping itu, walaupun ia (kawasan) masih ada, kami tidak dapat berkembang untuk memenuhi keperluan ahli dan pempamer lain. Oleh itu, kami pindah ke MITEC,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy; Jawatankuasa Penganjur, Datuk Hamzah Rahmat dan Nigel Wong.

Tambah Kho, MATTA Fair yang bermula pada 10 pagi hingga 9 malam itu tampil kelainan dengan menyediakan pelbagai ruangan seperti gerai makanan, pertunjukan budaya dan pelbagai lagi.

Jelas beliau, terdapat tiga aras bagi pameran dilakukan yang mana tingkat satu berkaitan pelancongan domestik, manakala aras dua dan tiga adalah bahagian antarabangsa.

“Aras satu atau tingkat bawah ditetapkan sebagai sfera domestik. Di sini anda akan menemui semua barangan pelancongan Malaysia, termasuk tarikan, hotel, inap desa dan barangan yang dihasilkan.

“Di samping itu, semua Pertubuhan Pelancongan Negeri (STO) akan ditempatkan di sini. Perak mendahului dengan menduduki satu perlima daripada keluasan, menjadikannya pempamer terbesar di bahagian/dewan domestik,” ujarnya.

Bagi aras dua dan tiga pula, beliau berkata, ia akan menempatkan pelbagai Pejabat Pelancongan Nasional (NTO) termasuk dari Filipina, Indonesia, Thailand, Taiwan, Arab Saudi, Dubai, Hong Kong, Korea, Maldives dan lain-lain.

Jelasnya, pengendali umrah yang mempunyai lesen oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) juga turut disediakan.

“Mereka (pengendali) akan menjual pakej umrah dan haji mereka di sini sebagai tambahan kepada pelancongan dan perkhidmatan lain yang disediakan,” ujarnya.

Tambah beliau, antara kelainan baharu yang ditampilkan juga adalah dengan membawa masuk Arab Saudi sebagai salah satu destinasi untuk dikunjungi.

“Ia merupakan destinasi bukan sahaja untuk umat Islam dan destinasi umrah dan haji, malah ia kini menjadi destinasi semua orang.

“Dengan adanya visa pelancong yang sah selama setahun dan mempunyai beberapa kemasukan, ditambah dengan Malaysia sebagai salah satu daripada beberapa negara yang mendapat keistimewaan, rakyat Malaysia tidak seharusnya melepaskan peluang ini,” ujarnya.

Jelasnya, MATTA Fair turut menjamin bahawa setiap produk atau pakej yang telah dilanggan pelanggan adalah dipercayai.

Bagi pengangkutan pula, tambah Kho, MATTA akan menyediakan perkhidmatan bus ulang-alik dengan kerap dan percuma di tempat pengambilan atau penghantaran yang ditetapkan.

Jelasnya, ia khususnya di sekitar MITEC, iaitu di Hentian Duta, Kompleks Mahkamah, Masjid Wilayah, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Lokasi lain, terutamanya yang terletak berhampiran dengan stesen MRT sedang dirancang dan akan diumumkan pada masa yang sesuai,” ujarnya.