Pelaksanaan semula ECRL bakal ubah landskap pembangunan Pahang

Peta ECRL
Peta ECRL
A
A
A

KUANTAN - Keputusan kerajaan persekutuan untuk meneruskan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion akan menjadi satu lagi pencetus perubahan untuk negeri pantai timur sekali gus bakal mengubah landskap pembangunan di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata laluan sepanjang 200 kilometer yang merentasi negeri ini akan membawa impak sosioekonomi di kawasan luar bandar dan bandar yang dilaluinya.

“Peluang ekonomi ini akan dipertingkatkan dan pelbagai sektor pekerjaan termasuk pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

“Bandar dan pekan kecil yang akan dibina laluan ECRL seperti Mentakab, Maran, Gambang, Gebeng, Kuantan dan Cherating akan menjadi tumpuan pembangunan pesat sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Ia juga dapat menarik pembukaan lebih banyak pusat komersial dan penempatan baharu berhampiran ECRL,” katanya pada sesi penggulungan persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini lewat petang ini.

Menurutnya syarikat pelabur asing mahupun tempatan juga pasti akan mengintai peluang pelaburan di pantai timur seperti Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan kawasan perindustrian lain seperti Mentakab kerana ECRL menghubungkan pengangkutan kargo dan pelabuhan utama di pantai barat ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun dalam masa yang sama beliau turut mengharapkan kerajaan pusat agar dapat mempertimbangkan semula jajaran asal yang melalui Bentong sebagai satu daripada stesen ECRL.

Selain itu dalam masa yang sama anggota dewan turut dimaklumkan bahawa walaupun banyak projek jalan raya yang sedang dan akan dibina, namun kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sistem pengangkutan awam luar bandar di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan prihatin dan akui penduduk luar bandar terutamanya menghadapi kepayahan dan kesulitan akibat perkhidmatan pengangkutan awam yang amat teruk.

“Kami berusaha mencari penyelesaian dengan berunding dengan kerajaan persekutuan melalui Majlis Pengangkutan Negara,” katanya.

Menurutnya kelemahan soal pengangkutan awam di di luar bandar menyebabkan penduduknya bermasalah untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan selain menyebabkan golongan pelajar di kawasan itu terpaksa menggunakan motosikal sehingga mendorong kepada masalah sosial seperti lumba haram. - Bernama