Menipu pelaburan jongkong emas bernilai RM500,000

Gambar hiasan
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas kesalahan menipu pelaburan jongkong emas bernilai RM500,000 pada November 2016 lalu.

Tertuduh, V Parthiban, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim G Ramesh setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, hari ini.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000, dan jika gagal boleh dikenakan penjara sehingga kes selesai.

Terdahulu, mengikut kertas pertuduhan, pada 19 November hingga 4 Disember 2016, bersama-sama empat rakan yang masih bebas, tertuduh menerima deposit daripada seorang lelaki sebanyak RM117,450 di hadapan sebuah bank dalam daerah Seremban, sebagai satu pelaburan emas, di mana mengetahui bahawa mereka tidak mempunyai lesen di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.