Atlet bina badan negara dihadiahkan rumah

Mike (kanan) menerima replika kunci semasa gimik penyerahan rumah Residensi Jalilmas, hari ini.
Mike (kanan) menerima replika kunci semasa gimik penyerahan rumah Residensi Jalilmas, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Janji menghadiahkan sebuah rumah kepada atlet bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, 45 atau dikenali Mike direalisasikan dalam majlis serba ringkas, hari ini.

Penyerahan kunci disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Residensi Jalilmas, Bukit Jalil, di sini.

Sumbangan rumah tiga bilik tidur dan dua bilik mandi bernilai RM198,000 dengan kos ubah suai RM30,000 disumbangkan oleh pemaju Aset Kayamas Sdn Bhd atas pencapaian Mike yang merupakan juara dunia sebanyak tiga kali dan empat kali juara asia.

Mike ketika ditemui dalam majlis itu sebak dan terharu dengan hadiah diterima itu.

"Saya tak pernah terfikir akan dapat hadiah rumah kerana selama saya bertanding mewakili negara dari 2009 sehingga kini, permohonan saya untuk bantuan daripada kerajaan tak pernah dapat.

"Sehinggalah saya jumpa Syed Saddiq tahun lepas, beliau bantu saya mendapatkan elaun dan saya hadiahkan kemenangan kali ketiga juara dunia bina badan.

"Kemudian saya berjumpa dengan Khalid untuk memaklumkan masalah saya untuk mendapatkan rumah juga turut didengari, saya ucapkan terima kasih, saya terlalu gembira," katanya.

Sementara itu, Khalid memaklumkan permasalahan Mike yang tiada rumah dipanjangkan kepada pemaju, Aset Kayamas yang bersetuju menyalurkan sumbangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah janji kepada Mike ditunaikan hari ini. Mike berhak menerima pengiktirafan ini berdasarkan kecemerlangannya dalam bidang diceburinya.

"Kaedah ini akan saya gunakan kepada atlet Wilayah Persekutuan yang mencapai tahap kecemerlangan ditetapkan.

"Ia adalah suntikan semangat kepada atlet supaya tidak rasa rugi berkorban demi kerjaya mereka, namun tidak mendapat balasan setimpal," katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau harap lebih banyak penghargaan kepada atlet dapat disumbangkan dengan kolaborasi antara kerajaan negeri dan Pusat.

"Saya tak mahu usaha ini berhenti setakat ini dan harap lebih banyak pemaju akan ke hadapan membantu khususnya atlet di negeri-negeri lain.

"Ramai atlet yang dah banyak tabur budi tapi tak dihargai dan dengan kolaborasi negeri dan Pusat diharapkan mampu memajukan landskap sukan negara," katanya.